Isu harga minyak: bicaralah yang benar - Amin Ahmad
Akhirnya Perdana Menteri mengumumkan pengurangan subsidi bagi RON95 dan kenaikan harga bagi RON97 dan diesel. Alasan utama yang dikemukakan kerajaan ialah untuk pemulihan fiskal negara.
Rentetan itu, banyak reaksi negatif kedengaran. Namun ada beberapa reaksi positif turut dikemukakan. Sebagai seorang pendokong pasaran bebas dan pernah menyebut tentang pemulihan fiskal negara ini dalam wacana Bajet 2013 dalam perbincangan di sebuah stesen televisyen swasta, tentulah pendirian kerajaan ini adalah satu langkah yang boleh dipuji. Jarang ahli politik berani mengambil tindakan yang tidak popular. Maka, wajar tindakan yang tidak popular ini diteliti sebabnya dan dinilai kekuatannya.
Fungsi harga dalam pasaran
Dalam sistem pasaran, harga berperanan penting dalam menentukan kecekapan agihan sumber. Harga bertindak sebagai petunjuk kekurangan atau lebihan sumber di pasaran. Ia memberi maklumat kepada semua pihak untuk bertindak sesuai dengan perubahan persekitaran pasaran. Sebagai contoh, jika bekalan minyak kurang sedangkan penggunaannya tinggi, maka harga akan naik.
Apabila harga naik, orang ramai akan memberi reaksi tertentu misalnya tidak keluar bersiar-siar dengan kenderaan atau lebih banyak menggunakan pengangkutan awam yang kosnya lebih rendah. Sementara itu teknologi yang lebih cekap misalnya kenderaan hybrid atau penggunaan NGV akan muncul. Tempat yang mungkin mengandungi simpanan minyak juga akan terus dicari.
Sistem pasaran menjadi tidak cekap apabila mekanisme harga pasaran tidak berfungsi atau terganggu, lazimnya kerana beberapa sebab antaranya campur tangan kerajaan dalam penetapan harga siling atau harga lantai, cukai tinggi, perlindungan terhadap barangan atau perniagaan, kartel atau monopoli dan penipuan peniaga. Berdasarkan semua faktor ini, jelas sekali bahawa banyak pembetulan boleh dan perlu dilakukan oleh kerajaan. Sudah tentu ini menuntut iltizam politik yang jitu serta komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak, khususnya jentera kerajaan sendiri.
Kebimbangan
Kebimbangan ramai ialah ini tidak mungkin berlaku. Ini terutama apabila sesetengah pihak yang cuba menunjukkan sokongan kepada rasionalisasi harga minyak tidak bersedia mengaku beberapa kelemahan dasar dan pengurusan ekonomi oleh kerajaan. Kita ambil misalnya, dalam kerancakan mempromosi 1Malaysia, tanpa disedari kerajaan cuba bersaing dengan pasaran melalui kedai rakyat 1Malaysia.
Seterusnya, semasa kritikan terhadap defisit secara berterusan dan peningkatan hutang negara disebut, pemimpin kerajaan cuba menjustifikasikan hutang ini, seolah-olah jika kita menambah lagi hutang domestik sampai bila-bila tidak akan menjadi masalah. Ujiannya boleh dilihat kini, mengapakah kerajaan tidak menambah hutang domestik untuk menanggung subsidi? Jelas, alasan hutang domestik itu tidak dapat bertahan bahkan boleh memberikan kesan himpitan keluar (crowding out effect) kepada ekonomi.
Selain itu, selepas pilihan raya umum ke-13 pihak kerajaan baru hendak membentangkan tambahan peruntukan belanjawan 2012, sekali lagi menambah defisit! Maka jangan ditanya mengapa orang ramai mempersoalkan komitmen kerajaan. Seterusnya, orang ramai bersuara tentang kesan gandaan daripada kenaikan yang berlaku. Ini adalah kesan yang tidak diniatkan (unintended consequence). Ia tidak boleh dipandang remeh hanya kerana teori ekonomi yang dikemukakan mempunyai asas kukuh. Sementara benar subsidi harga minyak lebih banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, penarikan subsidi minyak pula lebih banyak akan menekan golongan berpendapatan rendah. Inilah perangkap subsidi (subsidy trap) dan sebab itulah rasionalisasi subsidi diperlukan sebelum terlambat.
Komunikasi jujur
Dasar yang baik perlu dikomunikasikan dengan jujur. Selain itu, tindakan teladan juga perlu ditunjukkan oleh kerajaan. Kerajaan mesti mendedahkan berapakah harga minyak sebenar di pasaran, jumlah subsidi sebenar dan berapakah kenaan cukai yang diambil. Memandangkan selama ini Petronas bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri, adalah wajar mekanisme bagi penentuan harga minyak turut didedahkan.
Saya percaya maklumat sebenar yang dikomunikasi dengan jujur lebih mudah dipertahankan. Selain itu, kerajaan perlu mengemukakan rancangan pengurangkan belanja pengurusan yang mencecah lebih 80% belanjawan negara. Saya percaya orang ramai, khususnya pembayar cukai, akan lebih berpuas hati sekiranya peratusan tersebut pergi kepada belanja pembangunan kerana dengan itu ia akan dapat mengimbangi kemajuan, khususnya di negeri-negeri dan daerah-daerah yang tertinggal. Ia juga akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Teruskan perbincangan
Isu ini juga perlu terus dibincangkan kerana rasionalisasi subsidi tidak hanya terhenti setakat itu. Dalam beberapa petunjuk yang ada, jelas bahawa belanjawan negara banyak bergantung dengan hasil minyak walhal usaha pencarian telaga minyak semakin menemui jalan buntu. Simpanan minyak mentah negara juga menunjukkan ia hanya dapat bertahan sekitar 20-25 tahun berdasarkan kadar penggunaan pada tahun 2009. Simpanan ini mungkin bertambah tetapi kita tidak boleh lekas berpuas hati dengannya.
Sementara itu, faktor jangka panjang seperti pertambahan penduduk dunia dan pertumbuhan ekonomi dunia pasti akan menambah permintaan minyak. Sebagai komoditi dagangan yang biasa, pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan di banyak negara kini pasti akan mendorong kenaikan mendadak permintaan minyak.
Rasionalisasi harga minyak perlu dibuat tetapi dasar lebih menyeluruh untuk menambah baik ekonomi lebih mustahak. Dalam perbincangan Bajet 2013 yang sama juga saya turut menegaskan kejayaan bantuan subsidi bukanlah kerana semakin ramai menerimanya tetapi bila semakin ramai keluar daripada pergantungan kepadanya. Ini adalah paradigma yang perlu digunakan oleh kerajaan dan orang ramai yang menerima bantuan kerajaan.
* Amin Ahmad, 31 ialah pemerhati isu semasa. Beliau pernah menjadi Pengurus Projek dan Operasi di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Pegawai Komunikasi kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments
Post a Comment