Fathul Bari Bidas Ketua Pemuda PAS Dan Ustaz Asri

Tiada subsidi dalam Islam, hanya ada cukai, kata Ulama Umno

OLEH MD IZWAN

Saya bercakap dalam konteks sabar, kata Fathul Bari Mat Jahya berhubung artikelnya mengenai kenaikan harga minyak.

Ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahya mempertahankan kenyataannya mengaitkan kenaikan harga barang merupakan ketentuan Allah, serta menegaskan konsep "subsidi" tidak digunapakai di dalam ekonomi Islam.

Fathul Bari mendakwa Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan dan bekas Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memutar-belit kenyataannya dan menegaskan tujuan asal artikel beliau ditulis dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu adalah untuki memberi kefahaman kepada masyarakat.

"Mereka sebenarnya telah memutar belitkan kenyataan saya, saya sebenarnya bercakap tentang kenaikan harga minyak menurut perspektif akidah. Bagaimana kita nak mendekati isu ini.

"Saya bercakap dalam konteks sabar, saya bukan bercakap dalam konteks melarang kita dalam mempersoalkan perkara itu secara berhemah," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider di luar Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam.

Beliau juga memetik ayat Al-Quran: "Aku (Allah) uji mereka, dengan kematian dengan kekurangan harta benda, dengan hilangnya kerosakan tanam-tanaman dan sebagainya, dan berilah khabar gembira kepada orang sabar."

Katanya, konsep "subsidi" yang digunakan oleh kerajaan ketika ini tidak berlandaskan ekonomi Islam.

"Dalam ekonomi Islam tidak ada istilah subsidi, di zaman Saidina Umar al Khattab, beliau merupakan antara tokoh ekonomi yang merangka perkembangan ekonomi Islam.

"Subsidi tidak ada, cukai ada," katanya lagi.

Menurut Fathul Bari, pemberian "subsidi" oleh kerajaan tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang lebih memerlukan memandangkan mereka yang kaya juga menerimanya.

"Sepatutnya, subsidi atau hibah (hadiah) ini diberikan kepada golongan sasar, seperti apa yang berlaku pada hari ini.

"Orang yang mewah kehidupannya juga merasai subsidi tersebut," katanya.

Beliau turut menjelaskan gambaran oleh Nasrudin dan Mohd Asri terhadap kenyataannya seolah-olah semua adalah takdir Allah juga tidak tepat, sebaliknya berkata orang ramai perlu mencari ikhtiar dalam menangani kenaikan harga barang.

"Mereka (Nasruddin dan Asri) sekarang ini cuba nak membawa saya ke situasi mengatakan semua adalah takdir Allah tanpa usaha... itu salah, mereka cuba putar belit kenyataan saya.

"Yang saya cuba sampaikan adalah ikhtiar, kita kena sabar. Selepas ini saya menulis sebuah artikel berkenaan dengan kaedah kita mempersoalkan perkara tersebut," katanya lagi.

Fathul Bari turut mengakui tajuk artikelnya telah diubah dan beberapa perenggan dipadamkan oleh penyunting akhbar Sinar Harian.

"Tajuk asalnya 'Bagaimana sikap kita dalam menghadapi kenaikan harga minyak'. Kedua, dua perenggan saya dipadamkan... tapi ini hak mutlak editor," kata Fathul Bari.

Sebelum ini, Nasrudin dan Mohd Asri membidas kenyataan Ulama Umno tersebut sebagai tidak berasas dan mengelirukan orang ramai kerana menjadikan Allah sebagai alasan terhadap kenaikan harga barang.

"Apakah jika anda ke kedai lalu penjual menjual barang dengan harga yang mahal, maka adakah dia boleh menyatakan 'Allah yang menaikkan harga bukan saya?" soal Mohd Asri dalam akaun Facebooknya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Menurut Najib kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel dan menegaskan pentadbirannya masih lagi memberikan banyak subsidi lain kepada rakyat. – 11 September, 2013.

No comments

Powered by Blogger.