Apa agaknya ‘tugas khas’ Hisham?




Tok Perak

*TERDEDAH sudah siapa gerangan bekas pemimpin Pas yang dihebohkan menerima dana dari SRC International Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB. Sekarang semua orang sudah tahu!

Pada satu sidang media Khamis lalu, Rafizi Ramli menyebut nama bekas pemimpin Pas yang menerima habuan berkenaan, tetapi tidak menyatakan berapakah jumlah sebenar dedak yang diterima.

Dalam pengakuan berkanun (SD) anggota Parlimen PKR Pandan itu mendakwa beliau menerima butiran mengenai perkara tersebut daripada bekas seorang pegawai kanan SPRM yang menyiasat skandal 1MDB.

Rafizi bertanggungjawab sepenuhnya atas pendedahan itu, dan bersedia untuk disiasat dan diambil tindakan sekiranya apa yang didedahkan itu tidak benar.

Terpulang kepada bekas pemimpin Pas berkenaan, dan pihak-pihak lain – termasuk 1MDB – untuk mengambil tindakan ke atas Rafizi.

Setakat ini umum beranggapan pendedahan Rafizi itu adalah benar, walaupun sebelum ini Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan dakwaan Rafizi sebagai 300 peratus palsu.

*FAKTA atau auta belakang kira. Apa yang pasti ialah setakat ini Pas tidak pernah menerima walau sesen pun duit yang diterima oleh bekas pemimpin kanan parti tersebut.

“SPRM dialu-alukan untuk menyiasat,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sambil menegaskan: “Pendedahan (Rafizi) itu langsung tidak memberi sebarang kesan terhadap parti kita.”

Kata beliau si fulan yang menerima duit daripada 1MDB bukan lagi ahli Pas, “dan sudah tiada kena mengena dengan parti.” Maka terserah kepada SPRM untuk menyiasat dan mendapatkan kepastian. Dan, terpulang juga kepada si fulan yang empunya diri untuk menghujah atau membetulkan pendedahan Rafizi. ‘Satu Malaya’ sedang menunggu...

*TIDAK pasti tuah atau tulah, tetapi memang mengejutkan. Tidak ada angin atau ribut, tiba-tiba sahaja Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diberi jawatan baharu dan tambahan tugas, iaitu sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pelantikan yang berkuat kuasa serta-merta itu menjelaskan perkembangan terbaru ini tidak menjejaskan kedudukan dan tanggungjawab Hishammuddin dalam portfolio sebelum ini.

Sepatah kata Perdana Menteri, seperti yang dipetik Bernama: “Pelantikan ini akan membolehkan YB Datuk Seri Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan.”

Maka, timbullah pelbagai soseh-soseh, spekulasi, andaian dan sindiran. Awal-awal sudah kedengaran sinis: “Kalau tidak apa-apa masakan tempua bersarang rendah...”

*ADA pun antara yang kuat disoseh-sosehkan sekarang ialah apa perlunya Hishammuddin diberikan tugas-tugas khas, sedangkan di JPM sudah ada sekian banyak menteri dan strategis?

Alkisah, ada yang berteori pelantikan ini adalah untuk memperkukuhkan kedudukan yang empunya diri sebagai naib presiden parti, sebab dengan memegang dua portfolio akan memberi Hishammuddin kuasa yang lebih besar.

Arakian, ada juga yang mencongak Najib mahu mewujudkan keseimbangan politik dengan memberi kuasa kepada sepupunya untuk ‘memerhatikan’ Zahid.

Hatta, ada yang awal-awal sudah meramalkan bahawa YAB dari Bagan Datuk, juga menteri dalam negeri, sekali gus timbalan perdana menteri itu mungkin terlepas peluang menjadi perdana menteri.

Almaklumlah, sejarah telah membuktikan bahawa ramai timbalan perdana menteri sebelum ini akhirnya kempunan untuk menduduki kerusi No.1 itu. Kantoi di tengah jalan...

*ADA cakap-cakap bahawa PRU14 akan diadakan tidak lama lagi. Maka masing-masing parti giat berusaha menambahkan bilangan ahli dan pengundi.

Umno mendakwa parti itu semakin diminati anak muda. Menurut Setiausaha Kerja, Datuk Ab Rauf Yusoh, golongan muda membuktikan “mereka ingin bersama perjuangan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib.”

Kata Ab Rauf lagi: “Jumlah pendaftaran tertinggi dalam bulan ini, iaitu dalam satu minggu itu ada 3,000 orang, iaitu dalam kalangan anak muda...mereka yang berusia di bawah 30 tahun.” Mungkin mula timbul kesedaran...

Umno mencatatkan jumlah ahli seramai 3,573,719 orang, di 21,653 cawangan di seluruh negara hingga 30 November 2016.

*AKHIR KALAM Pas juga tidak mahu kalah menambah keahlian. Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan mendakwa parti itu menerima purata keahlian mencecah 4,984 ahli pada setiap bulan sejak awal Januari tahun ini.

Katanya, dari segi keahlian baharu, parti Islam itu tidak pernah ‘suram’ seperti yang didakwa sesetengah pihak. Tidak pula dinyatakan dari jumlah ahli baharu itu berapa peratus golongan anak muda.

Nasrudin mengakui “partinya dikepung dari segenap arah. Serangan ke atasnya bertali arus. Fitnah dilemparkan ke arahnya bertubi-tubi. Namun pemimpinnya tenang sambil memacu perjuangan ini dengan langkah berhati-hati...”

No comments

Powered by Blogger.