Sidang Dewan Rakyat ditangguh, 13 RUU dilulus

6 April 2017

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat bagi mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen Ke-13 ditangguhkan hari ini, selepas bersidang selama 20 hari dan meluluskan 13 Rang Undang-Undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat pertama itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam semalam bermula dari 10 pagi hingga 5.05 pagi tadi.

Penangguhan sidang mesyuarat itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, diluluskan dengan undian suara majoriti.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen, saya berterima kasih kepada Anggota Parlimen yang berbahas dan menunjukkan kematangan untuk menyuarakan masalah rakyat secara lebih profesional," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sidang Dewan Rakyat kali ini meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017.

Turut diluluskan ialah Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2016) 2017, Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Perdagangan Strategik (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Mahkamah (Kaedah-Kaedah Permulaan Tindakan Sivil) 2016.

Azalina berkata, kerajaan akan terus komited untuk memastikan proses demokrasi negara sentiasa subur dan berkembang.

"Saya berharap semua Anggota Parlimen dapat memelihara Dewan yang mulia ini sebagai satu badan legislatif negara yang dihormati," katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, seluruh pegawai dan kakitangan termasuk anggota keselamatan yang menyumbang tenaga dalam memastikan kelancaran persidangan kali ini.

Mengikut laman web Parlimen, sidang Dewan Rakyat dijadual bersambung pada 24 Julai ini. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.