Jawapan Amzad kepada tulisan Raja Bahrin



AHMAD AMZAD HASHIM 14 APRIL 2017

SAYA merujuk kepada tulisan yang sangat jauh dari kebenaran yang ditulis oleh Dato' Raja Bahrin Shah (DRB), Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang menang atas tiket PAS, tetapi kemudiannya memilih menyerang PAS sebagai Pengerusi PAN Terengganu.

Ia berhubung tulisan beliau disiarkan pada 12 April 2017, di dalam Malaysiakini dengan fokus kepada Legasi Almarhum Tok Guru Nik Aziz, tokoh yang dikasihi oleh semua pejuang Islam dalam PAS.

Buku-buku yang menghimpun buah pemikiran Tok Guru banyak ditulis oleh ramai penulis PAS. Catatan DRB hanya sekelumit pengalaman beliau yang sekali sekala ke kuliah Tok Guru berbanding mereka yang berdamping rapat dengan Almarhum yang faham benar pemikiran Almarhum.

Fokus saya cuma berhubung kisah yang dicatatkan beliau tentang beliau dipanggil oleh Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah di rumah seorang pemimpin PAS di Kampung Durian Burung , Kuala Terengganu.

DRB mendakwa seolah fokus perbincangan adalah mengapa beliau menulis artikel "Mengimbau sumbangan dan jasa Nik Aziz?".

Bohong dan tidak dibangkitkan langsung. Ia seperti mahu membuat orang berprasangka bahawa begitu sekali Ustaz Wan Sukairi tidak menghargai Tok Guru Nik Aziz.

Walhal pada buku-buku catatan, pada kenderaan, pada laptop Ustaz Wan, pelbagai pelekat TGNA bertampal-tampal. Usrah yang dikendalikan Ustaz Wan sentiasa mengkisahkan teladan ulama besar ATGNA.

Saya punya locus standi untuk menegakkan kebenaran ini kerana saya yang mengaturkan pertemuan. Dan rumah itu rumah saya. Dan pertemuan itu adalah antara tiga orang iaitulah YDP PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi, Dato' Raja Bahrin, Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan saya sendiri selaku Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu yang juga Ketua Sekretariat Semua NGO Yang Bergabung Dengan PAS.

Arwah isteri saya ada sekejap sekadar menghidang kuih dan nescafe.

Puncanya kerana telah kecoh di peringkat akar umbi yang marahkan DRB yang dilihat 'mengikut' rentak aliran Pasma ketika itu. DRB menulis dan memanjangkan fitnah UG.

Bukan setakat di Terengganu, Blogger dan Facebooker di luar Terengganu pun mula mempertikaikan kesetiaan DRB kepada PAS. Ini memberi tekanan kepada PAS Kawasan Kuala Terengganu yang bermati-matian mempertahankan, menepis cuba memperbaiki kerosakan yang menjejaskan bukan sahaja DRB, tetapi nama baik PAS Kuala Terengganu sendiri.

Saya sendiri selaku Ketua Penerangan perlu jawab semua ini. Yang akan keluarkan kenyataan adalah saya.

Selain dari itu, PAS Kuala Terengganu sendiri mempunyai harapan yang besar kepada DRB, mahu melonjakkan lagi posisinya kerana kami percaya DRB punya potensi ke hadapan lagi oleh kedudukannya dipandang Kerabat Di Raja dan latar belakang profesionalnya.

Minat beliau dengan NGO kami bantu jayakan, arahkan supaya seluruh jentera beri sokongan, kehadiran pemuda dan muslimat. NGO seperti GANTI, MAMPAT, ROYALTI R angkat beliau. Beliau ke hadapan berucap dan sidang media. Urusan persiapan, kerjasama dan liason dengan persatuan persatuan, semua kami yang buat.

Bukan seperti hari ini, beliau berucap seorang diri di belakang Toyota Hilux. Tak dipedulikan sesiapa.

Kerana itu saya yang bincang dengan Ustaz Wan. Selagi boleh dibantu, diselamatkan, kita ikhtiarkan dulu. Biar saya cakap dulu dengan DRB. Kalau setuju kita jumpa di rumah saya. Ustaz Wan terus setuju dan memang diapun berpendirian begitu dari dulu.

Saya sampaikan kepada DRB. Ringkaskan cerita kami bertemu. Hampir dua jam.

Topiknya mulanya kita beritahu senario yang berlaku yang perlu kita baiki dan selamatkan. DRB nampak macam faham.

Fokusnya mula-mula kami minta DRB tak perlu panjangkan lagi soal Pilihan Raya Kecil DUN Cempaka yang menulis secara prasangka kepada PAS ekoran keputusan BN tidak mahu masuk bertanding di situ. Ramai orang PAS yang marah dengan tulisan DRB yang menohmah UG, inginkan jawatan dan lain-lain.

Posisi PAS ketika itu ialah PAS akan pertahankan DUN Cempaka tak kira siapa yang masuk bertanding. Umno tak mahu bertanding, itu hak Umno, PAS tidak bincang apa-apa syarat atau persetujuan sampingan yang lain.

Ia baik untuk PAS yang bergelut mengurus bencana banjir dan sedang mengumpul kekuatan.

PRK Chempaka ekoran kematian Almarhum TGNA. Berlaku pertandingan empat penjuru tidak disertai Umno. PAS menang besar.

Mesejnya Umno tak berani letak calon di DUN Cempaka.

Isu kedua berkait pendirian DRB berhubung isu Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), antara tuntutan DAP sejak sekian lama. DAP secara umumnya menguasai populasi bandar besar dalam negara yang peratus penduduk bukan Melayu lebih besar.

Jika Pilihan Raya PBT berlangsung, kemungkinan pentadbiran bandar utama dalam negara dikuasai bukan Melayu adalah besar. PBT berkuasa atas segala perlesenan tapak perniagaan, kedai, premis hiburan, arak, judi dan segala syaratnya.

Ini ditolak oleh PAS. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah memberi penjelasan tentang dasar ini kepada ahli parti PAS. Pemimpin lebih-lebih lagi dijelaskan.

Masalahnya DRB mengulanginya lagi dan disiar media sehingga persepsinya DRB menyanggah Presiden PAS sendiri. Itu merosakkan imej DRB sendiri dalam PAS dan merugikan rancangan PAS Kuala Terengganu yang amat harapkan kemaraan beliau menjadi pemimpin besar satu hari nanti.

Ironinya baru enam hari yang lalu, Tun Mahathir yang diangkat ikon oleh Pakatan Harapan pun menolak dengan tegas idea Pilihan Raya PBT ini.

Jika PAS Kuala Terengganu mementingkan diri berbanding kepentingan nasional, memanglah lagi untung buat Pilihan Raya PBT untuk Bandaraya Kuala Terengganu kerana seluruh Kuala Terengganu satu Parlimen dan empat DUN, semuanya BN kalah, dimenangi PAS, termasuk bantuan PAS yg memenangkan PKR di DUN Bandar.

Memanglah seronok akan ada jawatan Datuk Bandar, seluruh Ahli Majlis Bandaraya dan pelbagai kemudahan.

Tapi orang PAS bukan jenis gilakan jawatan. Fikir kesan jangka panjang dengan matang.

Itulah topik sebenar yang dibincang dalam dua jam yang berkenaan.

DRB bukan orangnya yang sesuai syarahkan perjuangan Tok Guru Nik Aziz kepada Ustaz Wan yang sejak dari zaman muda pengajian di Mesir, kembali ke tanah air bergiat dalam PAS, mengaturkan perjalanan pelbagai kunjungan Almarhum TGNA ke Terengganu atas kapasitinya Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu dan Urusetia Negeri.

Beliau lebih kenal ATGNA berbanding DRB.

Malah, Zainuddin Abu Bakar, Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu ketika itu, adalah berbesan dengan ATGNA. Anaknya Asyraf Zainuddin adalah menantu ATGNA.

Zainuddin yang mengetuai Lujnah Tarbiyyah Kuala Terengganu juga adalah tenaga Tarbiyyah di PAS Pusat.

Beliau yang menjadi Naqib usrah pelbagai peringkat di Kawasan Kuala Terengganu sama ada bulanan atau dwimingguan.

Dan fikrah, tasawwur, teladan dari ATGNA sentiasa diceritakan sesuai hubungan peribadi dan kekeluargaannya dengan ATGNA.

Dengan penjelasan ini saya harap sebagai orang yang masih ada sisa perasaan hormat dan sayang sesama Islam kepada DRB supaya hentikanlah menulis yang bukan-bukan begini.

Saya yang bertanggungjawab dengan Allah atas apa yang saya tulis. DRB suka bicara tentang tasauf kan? Tasauf yang saya belajar tak izinkan saya merekayasakan cerita yang tidak benar.

AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
14hb April 2017 – HARAKAHDAILY 14/4/2017

No comments

Powered by Blogger.