PENSABOTAJ BERWAJAH BAIK
PENSABOTAJ BERWAJAH BAIK.
Sejarah Bani Israel dimulakan dengan kisah anak-anak Nabi Ya'qub yang cuba membunuh adik bongsu mereka, Nabi Yusuf. Sejarah tersebut sebagai peringatan betapa Yahudi Bani Israel amat mahir dalam pembikinan plot fitnah dan sabotaj. Bahkan ia juga merupakan kisah yang mengajar kita akan kaedah bagaimana menangani fitnah.
⚫Dengki.
Punca utama budaya fitnah adalah kerana dengki yang meluap. Iri hati dengan nikmat yang ada pada orang lain. Yang lebih dahsyat, dengki dengan orang yang mempunyai hubungan dekat. Dalam kisah Nabi Yusuf, abang-abang Nabi Yusuf dengki terhadap Nabi Yusuf kerana baginda lebih disayangi oleh bapa mereka, Nabi Ya'qub.
"Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita lebih dari kita. Sedangkan kita lebih kuat" - Yusuf 8
Mereka sekeluarga. Sesama Islam. Tetapi berpenyakit iri hati yang kronik.
⚫Menganggap Semuanya Persaingan.
Hubungan darah yang sepatutnya terjalin perkongsian kasih sayang, tiba-tiba dijadikan sebagai persaingan merebut perhatian hingga meragut keharmonian. Kita boleh memilih samada mahu saling kuat menguat atau sengaja mencipta persaingan atas rasa dengki.
⚫Bunuh Nyawa Atau Bunuh Karektor.
Abang-abang Nabi Yusuf mengemukakan dua pilihan plan komplot ke atas Nabi Yusuf. Samada bunuh nyawa atau bunuh karektor. Mereka memilih bunuh karektor Nabi Yusuf dengan mencampakkannya ke dalam perigi supaya identiti Nabi Yusuf lenyap.
"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya bapa kalian kembali memberi perhatian kepada kalian" - Yusuf 9.
⚫Bilas Dosa Sabotaj Dengan Ibadat.
Pelaku komplot jahat kebiasaannya meredakan rasa bersalah mereka dengan amal ibadat. Kononnya susulan ibadat mereka dapat menampung dosa kejahatan mereka yang suka menfitnah dan tikam belakang.
"Dan sesudah itu (membuang Nabi Yusuf) hendaklah kamu menjadi orang-orang soleh" - Yusuf 9.
⚫Tuduhan Kononnya Orang Lain Sangka Buruk.
Bagi membentengi dakwaan jahat serta memaksa orang lain agar bersetuju dengan fitnah mereka, pelaku fitnah akan melemparkan tuduhan kononnya sesiapa yang tidak percaya pembohongan mereka adalah di kalangan orang yang suka bersangka buruk terhadap mereka.
Abang-abang Nabi Yusuf mengulang-ulang dakwaan bahawa bapa mereka, Nabi Ya'qub suka bersangka buruk terhadap mereka. Sedangkan curiga itu datang dari diri mereka sendiri.
"Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu sukar mempercayai kami?" - Yusuf 11
"Ayah sama sekali tidak akan percaya dengan kami sekalipun kami adalah orang-orang yang benar" - Yusuf 17.
⚫Mahir Berlakon.
Penfitnah dan pengkhianat tegar mesti mempunyai bakat berlakon yang luar biasa. Kemahiran ini penting demi mempersembahkan perancangan mereka dengan jayanya. Mereka boleh bermuka-muka dan tidak kelu lidah ketika menipu.
"Kemudian mereka datang kepada bapa mereka pada waktu malam dalam keadaan menangis" - Yusuf 16.
Bayangkan mereka yang mengkhianati Nabi Yusuf, mereka pula yang menangis kesedihan dan kekesalan. Mereka kelihatan cukup baik lagi penyayang. Hakikatnya berhati bangsat.
⚫Reka Bukti Palsu.
Dakwaan mereka bukan dengan tangan kosong. Bahkan beserta bukti! Tetapi bukti palsu.
"Mereka datang membawa baju (Yusuf) dengan berlumuran darah palsu" - Yusuf 18.
Dalam plot tersebut, abang-abang Nabi Yusuf telah memangsakan serigala sebagai tertuduh. Serta mengorbankan kambing yang tiada kaitan dengan konflik mereka untuk diambil darahnya dijadikan bukti palsu.
Dalam plot fitnah, pasti akan ada yang menjadi mangsa walaupun pada asalnya tiada kaitan. Kambing yang dikambing hitamkan.
⚫Jadilah Seperti Nabi Ya'qub.
Seorang Nabi mempunyai sifat bijaksana. Mampu rasional dalam menilai dan bertindak. Antara sikap Nabi Ya'qub adalah:
• Berhati-hati dengan sikap yang mencurigakan. Berwaspada adalah hikmah.
• Mampu membezakan antara bukti benar dan bukti palsu. Nabi Ya'qub menilai bahawa bukti baju Nabi Yusuf itu palsu kerana tidak logik ia diterkam serigala tetapi tidak koyak. Zaman sekarang masing-masing mendakwa ada bukti. Kita perlu ingat, ada bukti benar dan ada bukti palsu.
• Mengambil sikap sabar, yakin satu hari kelak Allah pasti menyingkap kebenaran.
فَصَبْرٌ جَمِيلٌ
"Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku" - Yusuf 17
Boleh jadi orang yang mewarisi sikap dan kemahiran abang-abang Nabi Yusuf dalam melakukan onar, mempunyai pertalian darah dengan Yahudi al-Maghdub.
Semoga Allah pelihara kita semua.
Abdul Mu'izz Muhammad
2 April 2017
No comments
Post a Comment