Dosa besar khianati Kelantan
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 April 2017
PASIR PUTEH - Negeri Kelantan yang dibina dengan asas Islam yang kukuh sejak Pas mengambil alih pentadbiran mesti dipertahankan dan sebarang penentangan terhadapnya suatu pengkhianatan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, usaha menjadikan Kelantan sebagai negeri bertunjangkan Islam bukan perkara main-main dan ia tidak dicapai dengan mudah.
Katanya, pimpinan Pas melalui pelbagai bentuk halangan sebelum berjaya menterjemahkan konsep Membangun Bersama Islam.
"Bukan senang untuk kita nak capai seperti apa yang kita nikmati hari ini, namun segala bentuk halangan dan kekangan berjaya kita atasi.
"Ketika menyambut ulang tahun ke-23 Pas memerintah Kelantan, Allahyarham Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) berpesan kepada saya agar jangan mengkhianati negeri ini kerana ia merupakan dosa besar," katanya.
Menurutnya, suasana politik menyaksikan pimpinan Pas yang kecewa meninggalkan parti dan berhasrat untuk merampas Kelantan daripada Pas.
"Teruslah istiqamah kerana kita tidak reda untuk serahkan negeri ini kepada Pakatan Harapan, kita tidak mahu melihat Kelantan di bawah kepimpinan ulama ini berkubur," katanya pada Majlis Amanat MB di Dewan Utama Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), petang semalam.
Ahmad berkata, kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pembangunan pendidikan walaupun berdepan masalah untuk mendapatkan pengiktirafan.
Menurutnya, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dibangunkan dengan standard dan kemudahan asas yang baik tetapi sehingga sekarang belum diiktiraf sebagai kolej universiti.
"Hanya kerana kita negeri pembangkang, kita susah untuk diiktiraf, bagaimanapun kita tidak lemah dengan semua itu, kita akan terus bergerak dengan membina kerjasama dengan universiti dari luar termasuk dari Turki," katanya.
Beliau berkata, Maahad Sains Tok Guru di Pengkalan Chepa menggambarkan usaha berterusan kerajaan dalam melahirkan cendekiawan Islam.
"Maahad ini bakal melahirkan pelajar bukan sahaja menguasai bahasa Arab, malah Inggeris kita berhasrat untuk melahirkan pemimpin masa depan yang bertakwa dan memenuhi tuntutan semasa," katanya.
No comments
Post a Comment