Maaf Dato' Kami Mahu Bertanya, Agama Islam Yang Bagaimana Dato' Mahukan?



Maaf Dato' Kami Mahu Bertanya, Agama Islam Yang Bagaimana Dato' Mahukan?

Oleh : Nazman Che Iberahim

1. Dato' sebut kononnya negeri ini terbiar dan terlalu lama hambar? Tidakkah Dato' celik mata akan bagaimana pembangunan demi pembangunan berlaku di Kelantan sejak 1990 hingga ke tahun 2017 ini? Kelantan yang Almarhum Tok Guru warisi daripada UMNO memang mundur pada tahun 1990. Dan sejak itulah, negeri ini dibangunkan oleh Tok Guru, yang mana gedung besar dan bangunan tinggi dimajukan selari dengan akhlak dan sahsiah anak muda. Nah sekarang lihat sahaja pembangunan di Lembah Sireh, Bandar Satelit Pasir Tumboh dan Tunjong, yang tidak memungkin lagi UMNO mahupun DAP seperti Dato' mengatakan yang negeri kami ini mundur dan tiada pembangunan.

2. Dato' sebut bahawa anak muda mahu ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan kepada mereka? Sedarkah Datuk dengan pesatnya pembangunan di Kota Bharu saat ini, pelbagai peluang kerja tersedia untuk anak anak muda? Di Aeon Mall sahaja, sejak setahun lalu lebih 2000 peluang kerja terwujud. Bahkan tidak lama lagi apabila Platinum Mall dan Lu' lu' Hypermarket siap, unjuran yang dibuat adalah lebih 10,000 peluang pekerjaan akan disediakan untuk anak muda Kelantan. Itu sekadar beberapa contoh yang boleh kita lihat di Lembah Sireh sahaja.

3. Dato' juga sebut "mereka (kerajaan negeri) sibuk dengan hukum hakam dan menjual balak dan tidak terdaya memikirkan bagaimana untuk menambah dana negeri". Dato', agama apakah Dato' sebenarnya? Apakah menjadi kesalahan bagi pemimpin suatu negeri sibuk menguruskan rakyatnya dan negeri yang disayanginya dengan landasan agama? Berteras dan berpandukan hukum hakam Allah. Apa masalahnya Dato'? Dan menjual balak ini, adakah ia menjadi satu kesalahan dari segi undang undang? Kelantan sahajakah yang mengusaha-hasilkan balak untuk sumber ekonomi negeri? Semuanya yang berkaitan hutan simpan pengeluaran, yang boleh diusaha hasilkan adalah mengikut prosedur dan tatacara oleh Majlis Perhutanan Negara dan dikawal ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri.

4. Dato' menyebut lagi, "mereka (kerajaan negeri) tidak peduli gejala sosial seperti dadah dan perceraian tidak terkawal". Sedarkah Dato' bahawa isu ini adalah tugas asasi agensi kerajaan pusat seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta pihak PDRM bahagian Narkotik? Akan tetapi kerajaan negeri tetap memberikan kerjasama yang erat kepada semua agensi ini dalam menguruskan isu dadah. Berkaitan kes cerai pula, tahukah Dato' bahawa Selangor mencatat kes paling tinggi sebanyak 30,901; Sabah (22,331 kes) dan Johor sebanyak 16,718 kes dari 2014 hingga 10 Julai tahun lalu? Nah, kenapa Kelantan pula dihodohkan dengan kes perceraian sebegini?

5. "Anak muda Kelantan mesti menyelamatkan keadaan ekonomi yang lumpuh di negeri ini". Apa yang Dato' maksudkan dengan lumpuh? Tahukah Dato' bahawa Kelantan telah berjaya mengurangkan defisit belanjawan negeri daripada 85 juta pada 2015 kepada hanya 33 juta sahaja pada tahun 2016? Sedangkan kerajaan DAP Dato' yang memerintah Pulau Pinang mengumumkan defisit daripada 292 juta pada 2016 kepada 667 juta bagi tahun 2017!

6. Dato' juga menyuruh anak muda menonton TV, Youtube, radio untuk belajar agama, fardhu ain, fardhu kifayah dan tidak perlu kepada guru agama atau orang pakai serban sebagai pemimpin. Nah, ini satu lagi kedangkalan Dato' dalam beragama dan berfikir. Jikalah semudah itu Islam ini, maka Allah tidak perlu turunkan Nabi dan Rasul kepada umat manusia, cukup dengan mengirimkan TV dan Internet sahaja kepada manusia sejak zaman Nabi Adam dulu lagi. Atau bagaimana Dato'?

7. Dato' menyarankan pula agar kita mestilah sanggup memilih pemimpin seperti Datuk Husam yang memiliki kepakaran dan berwawasan. Barangkali Dato' sudah pun nyanyuk, dan lupa bahawa sekian lama dahulu Dato' bersama UMNO menentang kerajaan negeri yang mana Husam adalah salah seorang exco-nya?

8. Lagi Dato' menyebut "hanya dengan royalti itu (petroleum) kita akan ada modal untuk membangun semula negeri bertuah ini". Ohh, pandai pula Dato' terfikir untuk membangunkan negeri dengan royalti? Mana pergi kepakaran dan wawasan Husam? Mana pergi kebijaksanaan Dato' berbanding PAS yang dipimpin oleh orang berserban? Jika Dato' pun terfikir dengan HANYA royalti, dapat bangunkan Kelantan, maka janganlah secara wewenang mengkritik Kelantan. Kalaulah Dato' dan DAP yang perintah negeri ini, jangankan balak, sungai dan gunung pun akan dijual nanti.

No comments

Powered by Blogger.