Gema Gegar Vaganza: Kedudukan Peserta & Recap Komen Juri Malam Konsert Kedua



Konsert kedua Gema Gegar Vaganza (GGV) telah berlangsung dengan meriah di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras malam tadi.

Bertemakan Dalam Lagu Ada Makna, 10 bintang GGV menyampaikan lagu tugasan masing-masing dengan penuh semangat.

Bienda yang menyampaikan lagu Sejati menjadi bintang pertama yang tersingkir manakala Mirwana yang menyampaikan lagu Satu dipilih sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori transformasi terserlah atas persembahan mereka yang memukau.

Pemenang menerima wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Kopi Pak Belalang. Setiap minggu, hadiah akan disalurkan kepada badan amal atau individu yang memerlukan.

Semua peserta GGV memberikan saingan sengit membuatkan juri tetap Farihin Abdul Fattah, Oki Setiana Dewi dan juri jemputan Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah sukar untuk menentukan siapa yang layak berada di kedudukan pertama.

Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan format pemarkahan 100% oleh juri profesional dan komen-komen yang telah diberikan:

UNIC - Hijau Bumi Tuhan
"Bukan sahaja pandai menyanyi tapi pandai mengaji. Semoga anda menjadi idola anak muda di luar sana," - Oki Setiana Dewi.

Hijjaz - Srikandi Cintaku
"Saya menangis sekali lagi. Anda mengingatkan kami tentang perjuangan saudara kami di sana. Terima kasih kerana menyedarkan kami," - Oki Setiana Dewi

Mirwana - Satu
"Tahniah atas persembahan anda. Walaupun ada sedikit kesilapan, tetapi itu menyempurnakan persembahan anda," - Farihin Abdul Fattah.

Azmi Saat - Redha
"Siapa yang tak meruntun jiwa dengar suara Azmi. Kelebihan anda takkan pernah terganggu. Tahniah Azmi," - Farihin Abdul Fattah.

Hafiz Hamidun - Relakan Jiwa
"Saya lebih terkesan dengan persembahan anda minggu lalu. Anda telah melakukan perkara betul, feel memang dirasakan tetapi muzik melebihi suara anda," - Farihin Abdul Fattah.

Izam EYE - Seruan
"Syabas kerana bila anda menghayati maksud lirik, anda menyampaikannya penuh penghayatan," - Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.

Saujana - Ketulusan Hati
"Lagu ini susah untuk dibawakan, tetapi satu percubaan yang bagus dari Saujana," - Farihin Abdul Fattah.

Wani - Bila Diri Disayangi
"Wani peserta termuda, satu persembahan yang luar biasa. Wani bawa macam lagu Wani sendiri," - Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.

Ana Raffali - Suci Dalam Debu
"Persembahan bagus dan lembut di bahagian awal tetapi ada sedikit kurang di bahagian tengah, mungkin kerana sangat menjiwai," - Oki Setiana Dewi.

Bienda - Sejati
"Lagu ini tentang hubungan insan dan Tuhan. Impak penyampaian memang luar biasa. Mesej sampai, tahniah Bienda," - Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.

GGV bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu ketiga GGV bakal membawa tema Nakustik (Nasyid Akustik) dan sembilan bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.


Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @ohselebriti

No comments

Powered by Blogger.