MENJAWAB TOHMAHAN WAN SAIFUL WAN JAN TERHADAP PAS



MENJAWAB TOHMAHAN WAN SAIFUL WAN JAN TERHADAP PAS

Tulisan Ketua Eksekutif, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, bertajuk “PAS Has Always Been Conservative” (“PAS Adalah Selamanya Konservatif”) di dalam The Star pada 25 April 2017 adalah dipenuhi dengan tohmahan.

Sesuai dengan nama kolum beliau di dalam akhbar tersebut, iaitu “Thinking Liberally” (“Berfikir Secara Liberal), jelas bahawa matlamat tulisan beliau adalah untuk memaparkan PAS sebagai sebuah parti yang ditubuhkan bagi memperkukuhkan kedudukan UMNO.

Fakta ini terlihat melalui kenyataan beliau bahawa Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-3 yang melahirkan PAS di Seberang Perai, Pulau Pinang, pada 24 November 1951 adalah berasal daripada strategi politik UMNO (“has its origin in UMNO’s political strategy”).

Kata Wan Saiful, UMNO di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar merasa bimbang dengan kehilangan sokongan daripada golongan Melayu Islam yang konservatif menyebabkan UMNO cuba memposisikan semula dirinya bagi memastikan sokongan mereka kekal.

Ini, kata Wan Saiful lagi, UMNO lakukan dengan matlamat untuk mengumpulkan golongan ulamak Islam yang konservatif (di dalam satu wadah) bagi membincangkan langkah-langkah yang mereka perlu ambil menuju ke arah kemerdekaan, di bawah lambang UMNO.

Hakikat bahawa Presiden pertama PAS, Haji Ahmad Fuad, adalah Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama UMNO, digunakan bagi mengaitkan PAS dengan strategi politik UMNO, begitu juga ucapan sulung Haji Ahmad Fuad yang didakwa menyeru umat Melayu bersatu.

Dakwa Wan Saiful, ucapan bertajuk “Kita Laksana Sampah, Kerana Tidak Bersatu” ini menyeru semua Melayu bersatu di bawah satu lambang, di mana golongan lebih konservatif berada di dalam PAS, tetapi akhirnya semuanya masih di bawah payung besar UMNO.

Kata Wan Saiful lagi, konservatisme Melayu kemudiannya menjadi makin kuat. Bila Haji Ahmad Fuad cuba mengubah PAS menjadi kurang perkauman dengan membawa PAS mendekati IMP, parti bukan perkauman milik Datuk Onn Jaafar, beliau ditolak oleh PAS.

Simpul Wan Saiful, perpaduan Melayu adalah asas penubuhan PAS dan inilah yang berlaku di dalam PAS yang kini kembali kepada bentuk asalnya sebagai sebuah parti konservatif Melayu yang memperjuangkan perpaduan Melayu seperti kehendak Datuk Onn Jaafar.

Kebanyakan dakwaan Wan Saiful di dalam tulisan ini sebenarnya adalah dakwaan palsu yang tidak disertakan sebarang bukti konkrit, apatah lagi rujukan kepada dokumen-dokumen rasmi era awal penubuhan PAS, sekali gus adalah berupa satu pemesongan fakta sejarah.

Tulisan sebegini jelas mahu memalitkan PAS dengan imej sebagai kuda tunggangan UMNO dan melegitimasikan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan, termasuk Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, bahawa undian untuk PAS adalah menyamai undian untuk UMNO.

Benar Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Pertama di Muar, Johor, pada 21 dan 22 Februari 1950 berpunca daripada keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 16 Januari 1950 melangsungkannya, ekoran desakan pelbagai pihak mengenai isu-isu agama.

Benar Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Pertama ini turut dihadiri oleh wakil UMNO Bahagian, dirasmikan pembukaannya oleh Pengerusi Tetap UMNO, Syed Abdul Kadir Mohammed, dan dirasmikan penutupannya oleh Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar.

Benar Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23 Ogos 1951 berpunca daripada keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 Jun 1951 melangsungkannya, ekoran desakan Bahagian Agama UMNO.

Benar Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2 ini turut dihadiri oleh wakil UMNO Bahagian, dan dirasmikan pembukaannya oleh Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, tetapi Datuk Onn Jaafar sudah tidak lagi bergelar Presiden UMNO mulai dari 26 Ogos 1951.

Tercatat dalam lipatan sejarah UMNO bahawa Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO bila cadangan untuk membuka keahlian UMNO kepada golongan bukan Melayu ditolak dan bahawa Tengku Abdul Rahman Putra dipilih menggantikan beliau.

Tercatat dalam lipatan sejarah UMNO bahawa Presiden pertama PAS, Haji Ahmad Fuad, adalah pencabar Tengku Abdul Rahman Putra dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO dan bahawa Haji Ahmad Fuad mengumumkan keluar dari UMNO pada 2 Disember 1951.

Benar usul menubuhkan “Persatuan Ulama' Se-Malaya” yang diluluskan oleh Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2, dan yang membawa kepada kelahiran PAS, dikemukakan oleh Ahmad Fuad Hasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama UMNO.

Bagaimanapun, Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2 ini juga memutuskan bahawa persatuan ini tidak akan terikat dengan UMNO, perjumpaan penubuhannya tidak akan dianjurkan oleh UMNO dan perbelanjaan baginya akan ditanggung oleh pesertanya.

Disebabkan ketidakterikatan “Persatuan Ulama' Se-Malaya” dengan UMNO-lah maka kehadiran wakil UMNO Bahagian di dalam Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-3 di Seberang Perai, Pulau Pinang, pada 24 November 1951 tidak seramai sebelumnya.

Dakwaan Wan Saiful bahawa penubuhan PAS adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO ternyata jauh tersasar kerana di dalam perjumpaan penubuhan PAS ini sendiri terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa PAS bukanlah alat UMNO.

Pertamanya, nama “Persatuan Ulama' Se-Malaya” itu sendiri diubah oleh para perwakilan menjadi “Persatuan Islam Se-Malaya” sekali gus membuka penyertaan PAS kepada massa berbanding hasrat awal penganjur untuk membukanya hanya kepada ulama' sahaja.

Keduanya, unsur politik juga dimasukkan pada tujuan utama PAS menjadi “mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan agama Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi”.

Sepanjang kajian saya, tidak wujud ucapan Haji Ahmad Fuad selaku Presiden PAS yang menyeru semua Melayu bersatu di bawah satu lambang, di mana golongan lebih konservatif berada di dalam PAS, tetapi akhirnya semuanya masih di bawah payung besar UMNO.

Tidak munasabah untuk Haji Ahmad Fuad membuat seruan begitu dalam keadaan mentor beliau, Datuk Onn Jaafar, sudah tidak lagi bergelar Presiden UMNO dan beliau sendiri dikalahkan oleh Tengku Abdul Rahman Putra dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO.

Dakwaan Wan Saiful bahawa perpaduan Melayu, yang dikaitkan dengan UMNO, adalah asas penubuhan PAS juga tersasar kerana jelas bahawa Perlembagaan pertama PAS yang diluluskan oleh para perwakilan menyebut mengenai “perikatan persaudaraan Islam”.

Wan Saiful juga terang-terang berbohong bila menyebut bahawa sebab Haji Ahmad Fuad ditolak oleh PAS adalah kerana cubaan beliau mengubah PAS menjadi kurang perkauman dengan membawa PAS mendekati IMP, parti bukan perkauman milik Datuk Onn Jaafar.

Muktamar Khas PAS di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 26 September 1953 menolak cadangan supaya PAS meneruskan penyertaan di dalam Persidangan Kebangsaan (National Conference) yang diasosiasi dengan Datuk Onn Jaafar bukan kerana isu perkauman.

Sebab utama cadangan ini ditolak, dan cadangan menyertai Perhimpunan Kebangsaan (National Convention) anjuran UMNO-MCA diterima, adalah kerana penyertaan di dalam Perhimpunan Kebangsaan akan membolehkan kemerdekaan dicapai dengan lebih cepat.

Ini kerana Perhimpunan Kebangsaan mencadangkan supaya pilihan raya sebagai persiapan kemerdekaan dilangsungkan dengan lebih cepat, pada tahun 1954, dua tahun lebih awal berbanding tarikh yang dipersetujui oleh Persidangan Kebangsaan, iaitu tahun 1956.

Begitupun, penyertaan PAS di dalam Perhimpunan Kebangsaan turut berakhir pada 11 Oktober 1953 apabila bantahan dua wakilnya ke atas cadangan untuk memperluaskan hak mengundi mengikut dasar jus soli telah ditolak oleh mesyuarat perhimpunan itu.

Apa yang jelas daripada komentar ringkas saya ini adalah bahawa, berdasarkan penelitian ke atas dokumen-dokumen rasmi era awal penubuhan PAS, tiada catatan rekod yang menunjukkan PAS pernah menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak.

Apatah lagi bila Perlembagaan PAS dipinda oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-3 di Parit Buntar, Perak, pada 12-14 Ogos 1954 bagi memperuntukkan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitab Allah dan Sunnah Rasul serta Ijma' Ulama'.

Begitu juga dengan pengisian fasal “Tujuan PAS” dengan butiran “menjalankan ikhtiar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam” dan “memperjuangkan cita-cita Islam di dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara”.

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia

No comments

Powered by Blogger.