Bersih 2.0: Khairy juga perlu disiasat bawah ISA, kata Wira Perkasa

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 21 Jun – Sayap pemuda Perkasa mengecam saranan Khairy Jamaluddin agar presiden pertubuhan membela hak Melayu Datuk Ibrahim Ali disiasat di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman Ahad lalu.

Sebaliknya tegas Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris, tindakan sama sepatutnya dikenakan terhadap Khairy, Ketua Pemuda Umno kerana turut melibatkan diri dalam perhimpunan membantah Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini.

Selain itu, tambah Irwan Fahmi, beliau bersetuju dengan pandangan Ibrahim yang mengatakan “apa sahaja boleh berlaku” pada 9 Julai kerana penganjur himpunan Bersih 2.0, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak boleh menjamin keamanan pada hari itu.

Selain Bersih, turut mengadakan perhimpunan Perkasa dan juga Pemuda Umno.

“Jika Khairy menyarankan agar presiden Perkasa perlu disiasat, sepatutnya beliau juga perlu disiasat di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana mahu melibatkan diri dalam Himpunan Bersih 2.0.

“Khairy bukan hakim atau ketua polis negara yang perlu mengajar polis dan pihak berkuasa kerana mereka tahu kerja mereka. Sama ada presiden Perkasa perlu disiasat oleh polis kerana dikatakan menghasut terserah kepada polis.

“Kenyataan presiden Perkasa ‘pada 9 Julai apa boleh berlaku’ itu juga ada kebenarannya kerana himpunan Bersih 2.0 juga tidak boleh menjamin tiada huru-hara yang berlaku,” kata Irwan Fahmi dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim, Ahli Parlimen Pasir Mas pada majlis pelancaran perhimpunan anti-Bersih pada Ahad lalu telah diputarbelitkan wartawan The Malaysian Insider.

“Kenyataan presiden Perkasa telah diputar belit dengan memberi makna berlainan dari apa yang dimaksudkan, wartawan Cina mana nak faham Melayu,” katanya.

Pada pelancaran itu, Ibrahim melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini atas alasan “apa sahaja boleh berlaku.”

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

Semalam Khairy berkata kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu tidak menggambarkan keseluruhan pendirian orang Melayu.

Justeru beliau menggesa agar tindakan dikenakan terhadap Ibrahim.

“Apa yang beliau kata sangat bahaya... sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukan ialah adakan siasatan dari segi hasutan,” kata Khairy.

Justeru tegas Irwan Fahmi, beliau mahu melihat berapa ramai ahli Pemuda Umno yang mampu dikumpulkan Khairy pada 9 Julai nanti.

“Khairy sepatutnya menjadi hero Melayu kerana Umno mempertahankan Melayu, parti yang memperjuangkan Melayu... sepatutnya isu Melayu Khairy perlu tampil ke hadapan, ini baru hero Melayu yang mempertahankan Melayu.

“Pemuda MCA pun tak hormat pada Khairy yang merupakan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), sebab itu Pemuda MCA menolak untuk turut serta pada 9 Julai. Sepatutnya sebagai Ketua Pemuda BN, Khairy perlu menunjukkan ketegasan dan pendirian kerana beliau menang pilihan raya atas tiket Umno-BN,” katanya.

Tambah Irwan Fahmi, beliau menasihatkan Khary agar kembali ke landasan asal dan bukan mengambil kesempatan dalam isu-isu yang dibangkitkan.

“Wira Perkasa menyarankan supaya Khairy kembali ke landasan asal dan bukan mengambil kesempatan terhadap isu-isu semasa, saya dan kempimpinan Wira Perkasa berdiri teguh di belakang presiden Perkasa dan akan mempertahankan presiden walaupun apa yang berlaku kerana asas perjuangan adalah perjuangan orang Melayu.

“Mungkin Khairy terlupa asas perjuangan partinya,” katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.