Karikatur: Mohon maaf atau sedia hadapi protes besar-besaran, tegas Pemuda PAS

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 17 Jun — Dewan Pemuda PAS pusat memberi tempoh tujuh hari kepada Utusan Malaysia, akhbar milik Umno, agar memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyiarkan karikatur didakwa menghina agama itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, ketuanya Nasrudin Hassan berkata, tempoh tujuh hari itu bermula dari tarikh karikatur berkenaan disiarkan iaitu kelmarin.

Selain itu tegas beliau, selain memohon maaf Utusan Malaysia juga perlu mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur tersebut, yang hanya dikenali sebagai “Miki”.

Tambah Nasrudin, pihaknya telah menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia pagi ini dan diterima Ketua Meja Jenayah Sufian Abu Bakar.

“Kami memberi tempoh selama tujuh hari bermula 15 Jun supaya Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyiarkan karikatur yang menghina Islam.

“Kami juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis kartun itu dan jika tidak akan meneruskan siri bantahan, kami akan membuat perhimpunan lebih besar bagi menyatakan pendirian kami yang tidak bersetuju dengan karikatur tu yang secara jelas menghina Islam,” katanya.

Kelmarin akhbar harian berbahasa Malaysia itu pada muka surat 15 telah menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dan ia menurut Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan menghina Islam.

Selain itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa agar Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka.

Akhbar itu menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan itu menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Dialog yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi “Bagus ... Alat itu pun boleh jadi bukti!”.

Tambah Nasrudin, pihaknya juga mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia sambil menyifatkan “ia bukan kali pertama.”

“Kartun ini jelas menunjukkan Utusan Malaysia mempersendakan hukum Islam, mencetus kekeliruan terhadap agama Islam dan mempersendakan tokoh-tokoh agama.

“Selain itu, ia juga menimbulkan keresahan masyarakat berkaitan dengan jenayah rogol dan terhadap keupayaan undang-undang Islam menyelesaikan jenayah.

“Jadi kita harap Kementerian Dalam Negeri tegas,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga akan membuat desakan kepada KDN sekiranya Utusan Malaysia enggan memohon maaf dalam tempoh yang ditetapkan itu.

Selain Nasrudin, empat pemimpin sayap Pemuda PAS turut sama menyerahkan memorandum kepada Utusan Malaysia.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.