Pakatan nafi dakwaan Muhyiddin Bersih 2.0 taktik kuasai Putrajaya

Oleh G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra

SHAH ALAM, 19 Jun — Pakatan Rakyat menolak keras dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa pihaknya mahu menggunakan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan sebagai jalan pintas untuk menawan Putrajaya.

Sehubungan itu timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata, sama ada Pakatan Rakyat menggunakan perhimpunan bulan depan itu untuk ke Putrajaya ataupun sebaliknya “bukan isu” sekarang.

“Itu bukan isu, bahawa kami hendak menggunakan (Bersih 2.0) untuk ke Putrajaya,” kata pengarah pilihan raya PKR ini sambil menambah, Himpunan Bersih 2.0 diadakan untuk memastikan sistem pilihan raya negara ini adalah adil dan bersih.

“Selama ini kita sudah membuat aduan, tetapi SPR tidak ambil tindakan. Jadi, apa pilihan yang kita ada?” soal beliau.

Azmin juga menambah, ada pemimpin Umno-BN mendakwa tanpa pilihan raya adil dan bersih tidak mungkin Pakatan Rakyat boleh membentuk empat kerajaan negeri pada pilihan raya umum 2008.

Sebaliknya Azmin memberitahu, Pakatan Rakyat sudah pasti telah mencapai kejayaan lebih besar jika pilihan raya yang adil dan bersih dilangsungkan di negara ini selama ini.

Semalam, timbalan perdana menteri berkata perhimpuan yang dirancang oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil di Kuala Lumpur 9 Julai ini satu cubaan pembangkang untuk menjadikannya sebagai jalan pintas ke Putrajaya.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, pembangkang sebenarnya berselindung di sebalik badan bukan kerajaan itu yang mempertikaikan sistem pilihan raya umum di negara ini bagi merealisasikan niat mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi BN itu menambah SPR sudah pun memberi penjelasan berkali-kali bahawa pilihan raya dijalankan secara teratur mengikut peraturan sedia ada.

“Kalaulah mereka membangkitkan isu yang berkaitan pilihan raya kenapa sekarang mempertikaikan soal itu. Kenapa tidak mempertikainya pada pilihan raya lepas,” katanya.

“Saya fikir tujuan mereka tidak baik. Ambiga (Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan) itu kepala saja.

“Saya tahu di belakangnya ialah pihak-pihak pembangkang apabila Mohamed Sabu diletakkan sebagai timbalan pengerusinya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu merayu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar membenarkan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini diadakan.

Selain itu, beliau juga meminta agar polis dapat mengawal perjalanan Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bebas.

“Saya merayu kepada polis, Ketua Polis Negara supaya menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta tidak melakukan tindakan keras kepada rakyat yang menuntut demokrasi dan pilihan raya adil dan bebas.

“Saya yakin polis mampu untuk memantau termasuk mengekang pihak-pihak yang cuba melakukan kekacauan dalam perhimpunan aman itu,” kata Mohamad pada sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi.

Sebelum ini Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar memberi amaran keras akan menahan penganjur dan peserta Himpunan Bersih 2.0 kerana dikhuatiri tindakan itu menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Amaran itu dikeluarkan selepas polis memutuskan tidak meluluskan permit untuk Bersih dan Perkasa yang merancang mengadakan mengadakan perhimpunan menghalang Himpunan Bersih 2.0.

Selain itu, Pemuda Umno juga akan mengadakan perhimpunan pada hari sama.

Kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai “Mat Sabu”. perhimpunan Bersih 2.0 akan berjalan dengan aman sekiranya polis bertindak mengawal bukan mengambil tindakan menghalang.

“Kalau kita sampai ke Istana Negara dengan selesa dan baik, semuanya akan berjalan dengan lancar... kita juga akan bersurai dengan baik.

“Keadaan akan jadi tidak elok apabila polis bertindak sembur gas pemedih mata dan air asid, itu yang sebabkan peserta berlari, peniaga terpaksa tutup kedai, peniaga air kena buang air sebab dimasuki air asid... kalau perkara ini tidak berlaku saya percaya semua akan gembira, rakyat akan gembira dan peniaga juga akan gembira,” katanya.

Tegas Mohamad, beliau berharap agar polis tidak berat sebelah semasa Himpunan Bersih 2.0 dan dua lagi perhimpunan lain diadakan pada hari itu.

“Polis perlu bertindak adil untuk jaga keselamatan dan jangan buat tindakan yang memihak kepada parti-parti dan NGO (badan bukan kerajaan) tertentu,” katanya.



https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.