PERKASA Sebuah NGO Islam Atau Kafir?

Video seks: Trio Datuk T didenda RM5,500

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 24 Jun — Trio Datuk T yang mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks Mac lalu, yang si pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikenakan denda total RM5,500.

Keputusan itu dibuat Majistret Aizatul Akmal Maharani selepas mendengar hujah-hujah yang dikemukakan pihak tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh - ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Shazryl didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Shuib dan Abdul Rahim masing-masing RM1,500 atau dua bulan dan RM1,000 atau satu bulan.

Kesemua mereka perlu membayar denda itu hari ini dan sekiranya tidak melakukan mereka boleh dipenjara.

Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Sementara Abdul Rahim pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.

Pendakwaan terhadap Shazryl dan Shuib dibuat mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan manakala pertuduhan terhadap Abdul Rahim dibuat mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama berhubung tindakan bersubahat.

Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali.

Bagaimanapun selepas pertuduhan dibacakan, semua tertuduh mengaku faham dan memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar untuk membolehkan mereka berbincang dengan peguam masing-masing.

Kesemua mereka tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini kira-kira pukul 9.17 pagi.

Kehadiran mereka disambut dengan sokongan daripada penyokong-penyokong Perkasa yang telah berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi sejak awal pagi.

Selain melaungkan sokongan kepada Datuk T, kira-kira 150 penyokong Perkasa turut membawa poster yang tertulis “Bebaskan Datuk T”, “Tindakan Datuk T Wajar”, “Kita Tengok Siapa Yang Benar”, “Kami Sokong Datuk T”, “Hidup Datuk T” dan “Kami Sayang Datuk T.”

Dalam prosiding yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, mahkamah turut menayangkan semula video seks berdurasi 21 minit itu.

Majistret Aizatul bagaimanapun meminta agar video seks itu dipercepatkan di bahagian hubungan seks dilakukan.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Abdul Rahim, Suhaimi Salleh merupakan peguam Shuib dan Mohd Zamani Ibrahim bertindak sebagai peguam Shazryl.

Sementara pendakwaan dibawa oleh ketua pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan pendakwa raya kanan Kamaludin Md Said.

Ketika fakta kes dibacakan, beberapa kali disebut individu dalam video itu “menyerupai Anwar Ibrahim” dan wanita daripada China.

Disebut juga keterangan terdapat adegan seks oral dan bersetubuhan.

Ketika Majistret Aizatul bertanya tertuduh sama ada mereka faham tuduhan yang dibacakan itu, Shazryl berkata beliau tidak bersetuju bagaimana pelaku dalam video itu disebut.

“Bukan menyerupai, tapi Anwar,” katanya.

Muhammad Shafee, dalam hujahnya juga berkata lelaki dalam video seks itu adalah Anwar ekoran keputusan kajian yang dibuat pakar dari Amerika Syarikat.

“Anwar sepatutnya didakwa kerana membuat laporan palsu,” katanya.

Mohamad Zamani pula berkata beliau bersetuju dengan hujah rakannya itu sambil menambah, anak guamnya juga telah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan tidak menipu.

“Sehingga hari ini Anwar tidak memberikan apa-apa respons. Apa yang beliau (Shazryl) lakukan adalah untuk kebaikan masyarakat,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.