Pengarah Ditamas: Khir Toyo minta saya berbohong kepada SPRM

Oleh Boo Su-Lyn


SHAH ALAM, 16 Jun – Saksi utama kes rasuah Dr Mohd Khir Toyo hari ini mendakwa bekas menteri Besar itu telah menggesa beliau agar berbohong kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak melibatkannya.

Dalam keterangannya, Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni berkata Dr Khir ada meminta agar tidak melibatkan beliau ketika memberikan keterangan kepada SPRM dua tahun lalu.

“Banyak kali, saya dijanjikan bahawa kes ini akan diselesaikan dan beliau (Dr Khir) dan saya tidak akan didakwa,” kata Shamsuddin di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

“Apabila saya pergi ke SPRM, saya percaya saya cuma (jadi) seorang saksi... apabila SPRM datang dengan kertas tuduhan di mahkamah, Datuk Seri Khir Toyo memberitahu saya ‘jangan risau Shamsuddin. Kita boleh selesaikan ini’,” kata beliau.

Shamsuddin dalam suara tersekat-sekat memberitahu, dia tidak mahu mengaibkan sesiapa sebelum Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki mencelah dan memberitahu bahawa “ini bukan forum untuk memberi ucapan.”

“Saya dituduh dan saya tidak tahu mengapa saya didakwa,” kata ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.

Apabila Shamsuddin yang berpakaian hitam berkata, dia digesa oleh Dr Khir agar tidak mengaitkan beliau, bekas menteri besar itu menggeleng kepala sebagai tanda tidak bersetuju dengan keterangannya.

Semalam, Shamsuddin yang berkata dia telah diminta memaklumkan SPRM pada 2009 bahawa dia menjual rumah agamnya dan dua bidang tanah di Seksyen 7 di sini untuk menampung kerugian dialami, hari ini berkata itu tidak benar.

Ahli perniagaan itu berkata dia memaklumkan SPRM bahawa dia telah melantik seorang artis landskap Nasir Ismail untuk mengubah suai rumahnya, tetapi semalam menekankan bahawa individu itu sebenarnya dilantik oleh Dr Khir.

Kata Shamsuddin, dia tidak memberitahu SPRM bahawa dia menjual hartanahnya kepada seorang, yang menerajui negeri paling kaya selama lapan tahun, di bawah harga pasaran.

Peguam Dr Khir, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, “adakah anda bersetuju bahawa anda telah memberi satu kenyataan palsu (kepada SPRM pada 2009) yang merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM?”

“Kenyataan ini adalah kerana tekanan daripada Datuk Seri Khir Toyo,” jawab Shamsuddin, sambil menambah SPRM tidak memaksanya memberikan kenyataan palsu.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.