Barisan PAS Selangor baru dibentuk hadapi Umno-BN, kata Dr Rani

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 21 Jun — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dilantik semula membarisi kepimpinan PAS Selangor selepas digugurkan daripada jawatan timbalan pesuruhjaya negeri pada era Datuk Dr Hasan Ali.

Selain Khalid, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shaari Sungib dilantik semula memegang jawatan ketua penerangan.

Pengumuman barisan kepimpinan baru dibuat Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman pada sidang media pagi ini.

Menurut Dr Rani, keputusan barisan baru itu dibuat secara bulat suara selain mengambil kira pandangan PAS kawasan.

Tambah beliau, barisan kepimpinan baru itu dibuat atas dasar “boleh bekerjasama” dengan semua pihak dalam menghadapi Umno-Barisan Nasional (BN) dan pilihan raya umum ke-13.

Pada 2009, Khalid, Yang Dipertua Shah Alam dan Saari digugurkan jawatan oleh Dr Hasan yang ketika itu pesuruhjaya PAS Selangor.

Tindakan itu dipercayai kerana Dr Hasan “kepanasan” dengan kritikan berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

“Ini (barisan baru) kombinasi semua golongan, kita ada ulama, profesional, aktivis parti, muka lama dan muka baru... kalau dibenarkan kita akan tambah lagi (bilangan) tapi ini yang telah ditetapkan dalam perlembagaan parti.

“Barisan kepimpimpinan baru ini adalah untuk berhadapan Umno-BN dan pilihan raya umum yang mungkin akan diadakan pada tahun ini,” kata Dr Rani.

Tambah Adun Meru ini, beliau berharap kepimpinan baru akan memberikan kerjasama dengan semua pemimpin lain dan boleh menegurnya sekiranya melakukan kesalahan.

“Saya melihat yang penting (mereka yang dilantik) adalah orang yang boleh bekerjasama sebab kalau tidak ada kerjasama sukar untuk saya.

“Saya juga ikut gaya PAS Kelantan, yang mana yang saya hubungi semua yang dipertua untuk meminta pandangan dan apa yang mereka mahu, jadi pelantikan Khalid dan Saari ini dikira mendapat majoriti selain telah menunjukkan prestasi yang bagus,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.