Isu dua KP JKR: Kesatuan dakwa prosedur silap

Oleh G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 23 Jun — Pelantikan bekas ketua pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Ir Judin Abdul Karim sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu, didakwa bercanggah dengan prosedur peminjaman kakitangan awam yang ditetapkan pekeliling perkhidmatan 2008.

“Prosedur pelantikan ketua pengarah yang baru dan pertukaran ketua pengarah (sedia ada) ke CIDB tidak betul, sebab belum wujud kekosongan sedangkan ketua pengarah yang baru sudah dilantik,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Profesional JKR Zulkifli Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

Ditanya maksud tidak wujud kekosongan, Zulkifli berkata, jawatan ketua pengarah ‘masih kekal’ sebab penyandangnya — Judin — tidak meletakkan jawatan atau mengosongkan kedudukannya.

Selain itu kata beliau, surat pelantikan ke jawatan baru dan pertukaran Judin ke CIDB tidak dikeluarkan lagi.

“Apa yang kami tahu, Datuk Seri Judin hanya ditawarkan satu jawatan baru, tawaran sahaja bukannya pelantikan baru, dan beliau juga telah menolak jawatan baru itu... jadi beliau kekal di bilik yang sama dan tidak ke CIDB (sebagaimana dilaporkan sebelum ini),” katanya.

Pelantikan Judin itu juga dikatakan tidak mengikut prosedur kerana pekeliling 2008 menetapkan peminjaman pegawai memerlukan persetujuan tiga pihak iaitu pihak peminjam dalam kes ini CIDB, penyedia (JKR) dan pegawai yang terbabit terlebih dulu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang kemudian mengemukakan cadangan serta mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan terbaru ini didakwa mencetuskan kerumitan dalam pengurusan JKR, yang sesetengah pihak mendakwa wujud kerana tekanan politik di Kementerian Kerja Raya.

Berikutan itu, Majlis Bersama Jabatan Pihak Pekerja (MBJ-JKR) menuntut supaya Cuepacs, selaku badan induk kesatuan sekerja awam, berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ia diselesaikan berasaskan prosedur dan pekeliling itu bagi memelihara maruah serta kredibiliti pegawai sektor awam.

Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda ketika dihubungi memberitahu, “kita sedia maklum akan perkara itu dan kita akan mengadakan mesyuarat tertinggi Cuepacs petang ini di ibu pejabat Cuepacs di Kuala Lumpur.”

“Dalam mesyuarat itu nanti kita akan putuskan pendirian kita dan bagaimana cara untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku ini. Buat masa sekarang, saya tidak boleh nak cakap apa-apa, kita tunggu mesyuarat dulu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam suratnya kepada Cuepacs, yang dipetik Berita Harian hari ini, gabungan lima kesatuan sekerja dalam JKR itu juga berharap Najib dan SPA dapat menamatkan konflik pelantikan Ketua Pengarah JKR yang sudah berlarutan hampir dua bulan.

Mesyuarat bersama MBJ-JKR di Langkawi semalam turut mengambil ketetapan supaya Cuepacs yang memayungi 1.2 juta kakitangan sektor awam, menjadi orang tengah menamatkan konflik berkenaan.

“Baru-baru ini berlaku pertukaran Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim ke CIDB tanpa persetujuan beliau. Perkara ini menjadi gawat apabila pengganti beliau sudah pun dilantik ketika jawatan berkenaan belum dikosongkan,” menurut surat itu.

Semalam, beberapa akhbar dan The Malaysian Insider melaporkan seolah-olah wujud dua ketua pengarah di JKR. Perkara itu turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar di Parlimen kelmarin.

Laporan media yang memetik Ketua Pengarah JKR yang baru Datuk Mohd Noor Yaacob berkata, isu dua nakhoda satu kapal tidak timbul dalam JKR kerana beliau sudah menjalankan tugas secara rasmi sejak dilantik pada 1 Mei lalu walaupun Judin enggan mengosongkan biliknya.

Mohd Noor yang sebelum itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II berkata, beliau mula menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah sejajar dengan surat pelantikan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Pada 28 April lalu, Mohd Sidek mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Mohd Noor sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya mulai 1 Mei menggantikan Judin yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif CIDB pada tarikh yang sama.

MBJ-JKR juga berharap Cuepacs mengambil tindakan susulan memperbetulkan keadaan, sekali gus memastikan proses pertukaran dan peminjaman pegawai dilaksanakan dengan betul serta telus mengikut prinsip dan lunas yang digariskan pekeliling perkhidmatan 2008.

“Kami juga amat berharap SPA yang sepatutnya sebuah badan bebas bagi menjaga kepentingan perkhidmatan awam, berperanan secara bijaksana dan sewajarnya bagi menangani masalah itu.

“Senario yang sedang berlaku dalam JKR mudah-mudahan tidak merebak ke kementerian, jabatan atau agensi lain. Kemurnian tindakan yang diambil secara berhati-hati dan berhemah dengan menghormati hak penjawat awam perlu, seiring dengan konsep 1Malaysia,” menurut surat tersebut.

Selain Zulkifli, surat kepada Cuepacs ditandatangani Naib Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknikal Semenanjung Malaysia Sumardi Ali, Setiausaha Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan Wilayah Persekutuan Hashim Mahmud dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja JKR dan Air Sayuti Dollah dan Katoman Sukiman mewakili Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.