Isu Gaji Minimum. Najib Dibidas!

MEF kekal pendirian tidak setuju gaji minimum nasional

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) kekal dengan pendiriannya dasar gaji minimum nasional tidak harus diperkenalkan di negara ini walaupun pentadbiran Najib mengulangi jaminan ia dapat dilaksanakan hujung tahun ini.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak berkata pelaksanaan gaji minimum untuk golongan pekerja-pekerja berpendapatan rendah dijangka dapat dibuat sebelum akhir tahun ini.

Bagi tujuan tersebut, kata perdana menteri, Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara akan dibentangkan di Parlimen yang sedang bersidang.

“Jika diluluskan, kita akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara dan diharap gaji minimum dapat dilaksanakan sebelum akhir 2011,” kata Najib.

Malah, MEF juga berpendapat bahawa gaji tidak harus ditetapkan oleh mana-mana pihak terutamanya jika pihak yang ingin berbuat demikian bukan merupakan majikan.

“Pihak ketiga tidak seharusnya menetapkan apakah kadar gaji yang harus dibayar oleh majikan tanpa mengetahui apakah sebenarnya jenis kerja, kemahiran dan juga prestasi pekerja berkenaan.

“Faktor-faktor yang dinyatakan hanya boleh diketahui oleh majikan yang menggajikan pekerja berkenaan dan hanya majikan yang menggajikan pekerja berkenaan tahu dan boleh menilai apakah gaji yang harus dibayar kepada pekerja tersebut,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan kepada The Malaysian Insider.

MEF sejak dari peringkat awal lagi telah melahirkan pendirian tidak bersetuju dengan dasar kerajaan pusat menetapkan dasar minimum nasional.

Shamsuddin yang sedang menghadiri mesyuarat Pertubuhan Buruh Sedunia di Geneva berkata, gaji minimum nasional adalah tidak sesuai untuk Malaysia kerana jika dilaksanakan ia akan menimbulkan pelbagai masalah kepada majikan dan pekerja sendiri.

Sebagai contoh, katanya, penetapan gaji minimum untuk pengawal keselamatan yang pada mulanya sepatutnya berkuat kuasa Julai 2010 terpaksa ditunda ke Januari tahun ini kerana kerajaan sedar bahawa dalam keadaan yang sedia ada, majikan terbabit tidak mampu melaksanakan gaji minimum yang ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, walaupun kerajaan telah menstruktur semula formula gaji minimum untuk pengawal keselamatan berkuat kuasa 15 Febuari lalu, sebahagian besar majikan masih tidak mampu untuk membayar kadar gaji minimum yang ditetapkan.

Menurut beliau, penetapan gaji minimum nasional tidak menjanjikan sebarang pengujudan peluang pekerjaan kepada pekerja dan banyak contoh dari negara-negara di mana pelaksanaan gaji minimum nasional telah menyebabkan ramai pekerja hilang kerja.

“Walaupun pada dasarnya penetapan gaji minimum nasional adalah untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pekerja, tetapi pengenalan gaji minimum nasional berkemungkihan besar akan menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan, sudah tentu hasrat untuk meningkatkan pendapatan pekerja hanya akan tinggal sebagai harapan,” katanya lagi.

Shamsuddin berkata, MEF menyokong penuh hasrat kerajaan, yang digariskan melalui Model Baru Ekonomi untuk memperkenalkan ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan pendapatan per kapita dari US$7,000 sekarang kepada US$17,000 pada 2020.

“Tetapi, MEF tidak bersetuju dengan cadangan untuk meningkatkan pendapatan melalui penetapan gaji minimum nasional,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, MEF berpendapat bahawa peningkatan pendapatan per kapita kepada kira-kira dua kali ganda daripada apa yang ada sekarang hendaklah disokong dengan langka-langkah peningkatan kemahiran dan persijilan kemahiran, kemahiran berbagai dan melakukan kerja berbagai, gaji dihubung kait dengan prestasi pekerja dan prestasi majikan dan peningkatan produktiviti.

“Langkah-langkah yang dinyatakan di atas adalah penting untuk dilaksanakan jika Malaysia ingin terus meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa.

“Pelaksanaan langkah-langkah di atas akan dapat memastikan agar pekerja mendapat pendapatan lebih tinggi dan pada masa yang sama syarikat masih mampu membayar gaji pekerja kerana penigkatan kos berkenaan tidak menjadi bebanan jika prestasi dan produktiviti pekerja pada masa yang juga meningkat,” katanya lagi.

Bagaimanapun tegas beliau, jika keadaan sebaliknya berlaku dengan kos gaji meningkat tetapi prestasi dan produktiviti masih pada tahap sedia ada, sudah tentu ia akan menjadi beban kepada majikan dan akhirnya, Malaysia tidak akan menjadi negara yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” kata beliau.

“Oleh yang demikian MEF berpendapat bahawa gaji minimum nasional tidak harus diperkenalkan di Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataannya juga, Shamsuddin berkata, Majlis Konsultatif Gaji Nasional (MKGN) hendaklah diberi kebebasan dalam mengkaji dan memberikan saranan kepada kerajaan mengenai hala tuju gaji yang harus laksanakan di Malaysia.

Katanya, mana-mana pihak tidak harus mengenakan sebarang tekanan ke atas majlis itu dan mendesak supaya ia “hendaklah menetapkan gaji minimum nasional untuk dilaksanakan di Malaysia.”

“MEF pasti jika MKGN memainkan peranan yang sewajarnya untuk mengkaji dan meneliti tren gaji dan memperkenalkan initiatif mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan per kapita kepada US$17,000 pada tahun 2020, hasrat berkenaan akan dapat dicapai tanpa menjejaskan daya saing negara,” katanya lagi.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.