Negara Berkebajikan – Tawaran Pas kepada rakyat Malaysia.

Oleh Dr.Syed azman Syed ahmad,

Muktamar Pas kali ke-57 baru ini memaparkan ucapan dasar Presiden Pas Dato Sri Abdul Hadi Awang yang bertemakan ‘Membangun Negara Berkebajikan’. Ia pada kali ini lebih menjurus kepada tawaran Pas kepada rakyat Malaysia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang. Paling menarik adalah penerimaan dari pelbagai kalangan pihak yang memberi reaksi positif terhadap tawaran ‘negara berkebajikan’ Pas kepada seluruh rakyat Malaysia.


Ia dianggap sebagai ucapan yang bijak dan tepat pada masanya, terutama apabila rakyat sedang berhadapan dengan bebanan kenaikan kos hidup dan masalah ekonomi yang berpunca daripada salahurus, kelemahan serta ketidaktelusan pemerintahan Umno/BN.

Ucapan dasar ‘Membangun Negara Berkebajikan’ ini bagi saya, adalah bertepatan dengan perjuangan Pas yang berkonsepkan amal kebajikan, di mana seluruh kegiatan yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada kebajikan. Saya amat bersetuju dengan ucapan Presiden Pas yang menyatakan bahawa, "Tema ini berpaksikan kepada pegangan kita, bahawa Islam yang difahami oleh kita adalah sempurna yang merangkumi seluruh cara hidup manusia, roh dan jasad, individu, keluarga dan masyarakat, hubungan dengan Allah, diri manusia dan makhluk yang lain. Islam yang terkandung di dalamnya seluruh cara hidup manusia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya”.

Bagi saya ini ada suatu langkah positif bagi membetulkan imej negatif Pas yang sejak sekian lama berhadapan dengan polimik penafsiran dan perlaksanaan istilah “negara Islam” yang di lihat telah menyukarkan Pas bergerak lebih jauh ke depan dalam masyarakat majmuk Malaysia. Negara Islam yang digambarkan seringkali dikaitkan dengan perlaksanaan hukum hudud, potong tangan bagi pencuri dan hukuman rejam sampai mati bagi mereka yang berzina dengan gambaran bagi menakut-nakutkan kalangan bukan Islam dari mendekati perjuangan Pas.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Presiden Pas ketika di soal tentang apakah Pas telah meninggalkan perjuangan menegakkan ‘negara Islam’ dengan tawaran baru ‘negara berkebajikan’ ini. Beliau menyatakan bahawa; “Apa yang penting adalah pelaksanaan.

Kalau letak jenama saja, tak laksana, tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran. Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.

Bagi saya, polimik menegakkan istilah ‘negara Islam’ di kalangan aktivis parti Islam dan gerakan Islam lebih merupakan suatu retorik dan perdebatan yang tidak berkesudahan. Ada kalangan yang melihat politik Islam dengan gambaran yang terlalu ideal terutamanya dalam perlaksanaan melaksanakan ‘negara Islam’ sehinggakan ia menjadi satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. Malahan disebabkan istilah ini, ada kalangan mereka yang sanggup bermusuh, bahkan menuduh pihak lain tidak benar-benar memperjuangkan Islam serta telah menggadai prinsip perjuangan dek kerana gagal menegakkan ‘negara Islam’ atau ‘daulah islamiyyah’.

Secara umumnya, tiada dalam Islam istilah ‘negara Islam’ atau ‘Islamic state’ secara spesifik seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia lebih merupakan satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah. Bagi saya, seperti yang diungkapkan oleh Presiden Pas bahawa perjuangan politik Islam bukanlah perjuangan menegakkan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata, tetapi ia lebih kepada tanggungjawab menegak prinsip-prinsip keadilan dan ketelusan dalam memerintah serta menjaga kebajikan rakyat seperti yang digariskani oleh ajaran Islam. Yang penting adalah bagaimana kita mengisi setiap ruang kuasa yang ada dengan perlaksanaan yang tidak bertentangan dengan Islam.

Kini penekanan Pas terhadap usaha melahirkan negara berkebajikan telah memberi nafas baru kepada Pas. Seperti yang telah digariskan oleh Pas sejak sekian lama negara berkebajikan didefinisikan sebagai; "Sebuah negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara". Negara berkebajikan mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan.

Dan antara cirri-ciri negara berkebajikan adalah seperti berikut;

1) Tujuan utama pembangunan adalah bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam

2) Kerajaan adalah "guardian" atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat

3) Penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan (Ethic and human centric)

4) Kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat

5) Kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu di galakkan

6) Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara

7) Rakyat sejahtera, negara makmur

Bagi saya ini adalah tawaran terbaik Pas kepada rakyat Malaysia menjelang pilihan raya Umum ke-13 akan datang. Perjuangan Pas yang menjamin keadilan, keamanan serta memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan mesti diagendakan segera oleh semua pimpinan serta pendokong Pas. Dan inilah prinsip utama sebuah pemerintahan Islam yang adil dan saksama yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama demi menyelamatkan Malaysia yang tercinta ini.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.