Kita bukan nak galak lelaki poligami, kata Nik Aziz

KOTA BARU, 23 Jun – Langkah kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan insentif kepada lelaki yang tidak merahsiakan perkahwinan secara poligami tidak bermaksud kerajaan negeri menggalakkan mereka supaya berpoligami, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz berkata pendekatan itu lebih kepada usaha mencari kedamaian pasangan yang mempunyai niat untuk berkahwin lebih daripada satu supaya tidak menimbulkan masalah kepada keluarga apabila mereka merahsiakan sesuatu perkahwinan.

“Kita tidak galakkan lelaki berpoligami, tetapi ia bertujuan mencari kaedah bagaimana perkahwinan poligami itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan tidak menimbulkan masalah kepada pasangan terbabit, kerana ia adalah sesuatu yang sensitif baik bagi lelaki atau wanita,” katanya dipetik Bernaam Online.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri dua hari lepas bahawa kerajaan negeri bercadang memberi insentif kepada lelaki yang mendedahkan niat mereka untuk berkahwin secara poligami bagi menjamin kerukunan rumah tangga yang bakal dibina.

Nik Aziz bagaimanapun berkata kerajaan negeri belum dapat menerangkan apakah bentuk insentif yang bakal diberikan itu.

Katanya, cadangan kerajaan negeri ini bukan sahaja tidak dihalang oleh agama, malah kaedah itu boleh membantu anak dara tua atau janda berkahwin dan mendapat pembelaan suami.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.