Jamil Khir: Tiada sekolah agama rekrut pelajar sertai JI

YAN, 19 Jun — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan laporan akhbar sambil menegaskan tiada sekolah agama atau maahad swasta di negara ini secara langsung merekrut pelajar untuk menyertai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Beliau berkata sebenarnya yang berlaku ialah kumpulan berfahaman ekstrem dan berasaskan ideologi pemimpin militan seperti JI sentiasa bergerak untuk menyerap masuk ke dalam sekolah-sekolah ini.

“Kita pasti dari maklumat yang diterima aktiviti ini berlaku bukan atas nama sekolah atau maahad tetapi memang wujud orang atau kumpulan yang berusaha meresap masuk mempengaruhi pelajar,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Kumpulan ini sering menggunakan agama bagi merealisasikan matlamat mereka dan sebab itu Islam dikaitkan dengan keganasan,” katanya.

Jamil Khir mengulas laporan Mingguan Malaysia bahawa sebuah maahad swasta di Malaysia yang dikesan cuba merekrut belia menyertai kumpulan militan.

Beliau berkata polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri sentiasa memantau kegiatan JI dan kumpulan militan lain yang cuba meresap masuk menyebarkan fahaman ekstremis mereka ke maahad di negara ini.

Pihak-pihak ini sentiasa bertukar maklumat dan sebarang perkembangan aktiviti mereka sentiasa diketahui untuk diambil tindakan membanterasnya, katanya.

Jamil Khir berkata modus operandi kumpulan ini tidak banyak beza kerana menggunakan agama dengan menumpu kepada sekolah agama bagi menarik golongan muda.

“Yang menjadi masalahnya Barat menyalahtafsir terhadap Islam kerana pembawaan kumpulan-kumpulan ekstremis bersifat keganasan dan menghalalkan pembunuhan yang bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad S.A.W,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.