Khairy: Ambiga degil, ada tujuan politik teruskan Bersih 2.0

Oleh Shannon Teoh

KUALA LUMPUR, 21 Jun — Khairy Jamaluddin mengecam pendirian pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan yang enggan menemui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perhimpunan 9 Julai ini sambil menyifatkan bekas presiden Majlis Peguam itu “ingin menghangatkan pertimbangan politik.”

Ketua Pemuda Umno berkata kumpulan yang menuntut sistem pilihan raya adil dan bersih “memperoleh kemenangan moral” apabila berjaya mendesak SPR untuk datang berbincang tetapi tetap berkeras kerana mempunyai tujuan politik.

“Beliau (Ambiga) begitu degil. Beliau boleh bekerjasama tetapi beliau mahu ia berlaku. Jika tidak beliau akan berbincang dengan SPR dan ini tidak jujur dengan mengatakan anda ingin melakukan perubahan,” kata Ahli Parlimen Rembau ini kepada The Malaysian Insider.

Ambiga menolak tawaran SPR untuk berbincang mengenai perubahan sistem pilihan raya yang didakwa berlaku banyak penyelewengan dan penyalahgunaan supaya ia boleh dibentangkan di Parlimen.

Khairy berkata keputusan itu menunjukkan Bersih tidak bebas kerana ia cuba memastikan Pakatan Rakyat membawa isu itu ke Parlimen.

“Mengapa tidak bertemu dengan SPR terlebih dahulu, masih ada dua minggu sebelum 9 Julai? Kemudian baru putuskan jika ada apa-apa kemajuan yang boleh dibuat. Tetapi beliau jelas tidak berminat dan mahu menjadikan ia sebagai isu politik.

“Semua rakyat Malaysia mahu mengelak daripada berlaku pertembungan tetapi beliau cuba menghangatkan suasana politik,” katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan ratusan ribu peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Pada perhimpunan 2007, ia menyaksikan perubahan yang besar berlaku pada pilihan raya umum 2008 apabila Pakatan Rakyat berjaya menawan lima negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun akhbar Utusan Malaysia, milik Umno meneruskan serangan terhadap perhimpunan itu dengan mendesak rakyat membantah demonstrasi itu.

Pemimpin Umno menuduh penganjur menggunakan perhimpunan haram itu untuk mendapatkan sokongan politik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga memberi amaran bahawa “akan berlaku huru-hara dan membantah perhimpunan di jalanan.”

Selain Pemuda Umno, pertubuhan hak Melayu, Perkasa akan mengadakan perhimpunan balas pada hari sama.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.