Bekas ketua Wanita PKR saman lima individu, PAS

GEORGE TOWN, 15 Jun — Bekas ketua Wanita PKR Pulau Pinang Aminah Abdullah memfailkan saman fitnah berjumlah RM6 juta terhadap lima individu dan PAS berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan dalam akhbar Harakah edisi 20-22 Mei 2011.

Beliau memfailkan saman itu melalui firma guaman Ambar & Azah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Beliau menamakan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Norhayati Jaafar sebagai defendan pertama, Timbalan Ketua PKR Cabang Jelutung Jab Samad (defendan kedua), Setiausaha PKR Cabang Jelutong Anuar Kamaruddin (defendan ketiga), wartawan Harakah Mohd Sabri Said (defendan keempat), Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman (defendan kelima) dan PAS (defendan keenam).

Laporan Bernama Online berkata menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada sekitar 20-21 Mei lepas defendan pertama, kedua dan ketiga telah bersama-sama melalui sidang media di Galeri Pejuang, Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, kecaman berbentuk peribadi serta tuduhan tidak berasas bertujuan mengaib, menjatuh maruah, nama baik dan reputasinya.

Defendan keempat kemudiannya dengan niat jahat melaporkan kenyataan berkenaan dalam artikel bertajuk “Kenyataan Aminah Bertentangan Syariat” yang disiarkan dalam akhbar Harakah ruangan Fokus di muka surat N18, Koridor Pakatan Rakyat Edisi 20-22 Mei 2011.

Defendan kelima selaku Ketua Pengarang akhbar Harakah telah membenarkan defendan keempat untuk melaporkan kenyataan itu dan defendan keenam selaku pemilik akhbar berkenaan telah menyiarkan keseluruhan kenyataan berkenaan.

Aminah dalam pernyataan tuntutan itu mendakwa laporan akhbar itu antara lain memberi maksud bahawa plaintif adalah seorang yang jahil agama dan tiada sebarang pengetahuan syariat Islam, menerima umpan kebendaan daripada Umno termasuk dituduh menggesa Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercerai dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Plaintif menuntut ganti rugi am untuk fitnah slander (pernyataan fitnah dengan kata-kata atau gerak isyarat, bukan dalam bentuk kekal) sebanyak RM1 juta setiap seorang daripada defendan pertama, kedua dan ketiga.

Plaintif turut menuntut ganti rugi am untuk fitnah libel (pernyatan fitnah dalam bentuk kekal seperti tulisan, gambar ataupun filem) sebanyak RM1 juta setiap seorang daripada defendan keempat, kelima dan keenam.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.