Isu Kartun Hina Islam: ABIM Minta Utusan Mohon Maaf!

Karikatur: Utusan perlu mohon maaf kepada umat Islam, kata Abim

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung penyiaran karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dalam akhbar milik Umno itu, yang didakwa menghina Islam.

Presidennya Dr Muhd Razak Idris menegaskan karikatur itu yang disiarkan dalam Utusan Malaysia semalam mengandungi unsur-unsur yang menghina perundangan Islam.

“Dalam hal ini, kita mahu Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di atas penyiaran karikatur yang kalau kita lihat mengandungi unsur-unsur kejahilan terhadap perundangan Islam dan hukum syariat.

“Ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat dan tidak juga harus dilakukan oleh organisasi media yang memperjuangkan Melayu dan Islam,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Selain itu, jelas beliau, pelukis karikatur ini seolah-olah jahil tentang Islam dan perlu bertaubat selain berjanji tidak akan mengulangi perkara sama.

“Saya rasa pelukis itu jelas begitu jahil dengan hukum agama dan saya menyeru kepada dia agar bertaubat dan tidak lagi melakukan tindakan yang menunjukkan kejahilan dalam hal-hal agama.

“Jadi saya minta, selepas ini mana-mana kartun yang mahu disiarkan harus disemak dulu oleh mereka yang pandai agama kerana kita tidak mahu undang-undang ini dilihat sebagai menzalimi mangsa rogol, dalam kartun ini ia digambar macam itu,” katanya.

Kelmarin, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan mengecam penyiaran karikatur itu sambil menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa.

Tegas Muhd Razak, karikatur karya “Miki” itu menggambarkan perundangan Islam tidak boleh menuntut keadilan bagi mangsa rogol.

Tambah beliau, apa sahaja bahan bukti boleh dibawa ke mahkamah dan mangsa rogol berhak mendapat pembelaan yang sah.

“Dalam sudut perundangan Islam, ada prosedur-prosedur yang harus dipatuhi, kartun ini mempunyai unsur penghinaan apabila menggunakan undang-undang Islam dan kaedah pembuktian yang dilihat tidak mampu memberi keadilan kepada mangsa.

“Sebagai contoh dalam kes rogol dan mengikut kefahaman saya mangsa boleh membawa kes ini ke mahkamah dengan membawa bukti yang dimiliki yang akan dinilai di mahkamah,” katanya.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai “Denmark Malaysia” kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada akhbar Denmark yang pernah menyiarkan karikatur yang menghina Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom.

Menurut Muhd Razak, sistem perundangan Islam dilakukan penghakiman dalam mahkamah dan bukan secara terbuka.

“Kartun ini dilihat tidak wajar dan prosedur Islam, pembuktian harus dinilai oleh orang yang tepat dan memahami perundangan Islam, bukan sekadar seperti dalam kartun ini yang hanya menunjukkan kejahilan.

“Dan, ingin saya tegaskan prinsip perundangan Islam sebetulnya perlu dibawa ke sistem penghakiman dan ia tidak boleh dilakukan secara terbuka.

“Jadi ia sudah jelas, Utusan Malaysia harus memohon maaf, karikatur ini memaparkan kejahilan terhadap prosedur perundangan Islam seolah-olah undang-undang Islam menolak keadilan kepada mangsa rogol,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.