Merah atau biru? Pertembungan pertahan maruah
SEPANJANG hayatnya, John Terry barangkali tidak mungkin dapat melupakan rentetan 'tragedi' pada 21 Mei lalu.
Bayangkan di hadapan 69,552 penonton di Stadium Luzhniki, Moscow, dan berjuta-juta lagi yang menghadap kaca televisyen, Terry mempunyai peluang membuat pemilik Chelsea, Roman Abramovich, menjadi orang yang paling gembira di dunia ketika itu.
Sayangnya, Terry, yang boleh menentukan kemenangan pasukan Chelsea ke atas Manchester United dalam babak tendangan penalti, gagal mencari sasarannya.
Akibatnya, United memenangi pertandingan akhir Liga Juara-Juara Eropah itu dengan tendangan penalti 6-5 selepas pertarungan dalam masa tambahan berkesudahan seri 1-1.
Kini, hampir empat bulan kemudian, Terry bersama rakan-rakannya dalam pasukan Chelsea bukan sahaja boleh menebus kekalahan itu bahkan mempunyai peluang lebih cerah melakukannya.
Pertama, Chelsea akan menerima kunjungan United di Stamford Bridge esok. Sebab, musim lalu, Chelsea menewaskan United 2-1 di depan penyokongnya.
Kedua, banyak perubahan yang berlaku dalam kedua-dua pasukan ini dalam tempoh empat bulan ini.
Dilihat dari sudut United, pasukan itu telah pun melamar pemain Tottenham Hotspur, Dimitar Berbatov. Kehadiran Berbatov bagaikan melengkapi kekuatan United.
Tetapi masalahnya, kemungkinan Berbatov beraksi masih disangsikan kerana beliau difahamkan diganggu masalah kecederaan selepas kemunculan sulungnya menentang Liverpool.
Kemudian, Cristiano Ronaldo baru pulih daripada pembedahan pada pergelangan kakinya.
Ini bermakna Ronaldo mungkin tidak berbahaya seperti dalam final Liga Juara-Juara Eropah. Bahkan, beliau menjaringkan gol tunggal United pada minit ke-26.
Dilihat dari sudut Chelsea pula, pasukan itu bukan lagi dipimpin oleh Avram Grant.
Sebaliknya, Luiz Felipe Scolari, jurulatih yang pernah membantu Brazil menjulang Piala Dunia 2002, dipikat untuk menyertai Chelsea.
Di bawah pimpinan Scolari, Chelsea menjadi pasukan yang lebih segar dari segi cetusan idea permainan, jalinan persefahaman dan corak permainan.
Kehadiran bekas pemain Barcelona, Deco, memantapkan jentera midfield Chelsea. Kemunculan Jose Bosingwa dari Porto menambah kekuatan pertahanan Chelsea.
Jadi, tidak hairanlah jika Chelsea tidak pernah kecundang dalam lima perlawanannya. Bahkan, mereka pernah menang empat kali dan seri sekali. Dari segi gol, mereka telah menjaringkan 13 gol.
Ini berbeza dengan United sejak meniti musim 2008-2009, permainannya begitu sederhana, termasuk kecundang 1-2 di tangan Zenit St Petersburg dalam Piala Super Eropah dan 1-2 di tangan Liverpool dalam Liga Perdana England.
Melihat kepada fakta di atas, Chelsea menjadi pilihan untuk menang.
Tetapi pengurus pasukan United, Sir Alex Ferguson, telah memberikan semacam amaran bahawa pasukannya akan bangkit dan kembali mengancam.
Amaran itu wajar diberi perhatian kerana di kalangan pemain yang membentuk kesebelasan utama United, tidak kira Paul Scholes, Wayne Rooney, Carlos Tevez atau Ronaldo, kesemuanya mempunyai kelebihan memperlihatkan sekilas kecemerlangan yang boleh membawa padah ke atas Chelsea.
Tetapi di bawah Scolari, Chelsea lebih mantap dari segi bertahan dan menyerang.
Dengan kelebihan itu, Terry bersama rakan-rakannya akan menebus kepahitan 'tragedi' 21 Mei lalu.
Dua kelab terbaik Inggeris dan Eropah bakal berentap di Stamford Bridge malam esok penentu siapa lebih gah musim ini. Namu 'The Blues' punyai banyak kelebihan kali ini
No comments
Post a Comment