Keluar BN: Gerakan kumpul input, MCA diminta usah terburu
PULAU PINANG: Gerakan kini dalam proses mendapatkan maklum balas mengenai pandangan anggotanya berhubung kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN).
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, parti itu tidak akan menetapkan tempoh tertentu untuk membuat sebarang keputusan tentang kedudukannya dalam BN.
"Kita tidak menetapkan satu tarikh. Mungkin lebih awal dan mungkin lebih lewat," kata beliau dipetik Bernama selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata, banyak perkara perlu diteliti antaranya sama ada anggota parti masih menyokong BN, adakah Gerakan akan terus bersama BN dan jika Gerakan keluar BN adakah anggota parti akan terus menyokong Gerakan jika parti meninggalkan BN.
"Kita sedang mendapatkan maklum balas daripada akar umbi dan jika perlu kita akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai meminta parti itu supaya melihat senario politik semasa secara lebih meluas dan tidak terburuburu mengambil keputusan untuk meninggalkan BN, walaupun beberapa pemimpin masyarakat Cina berkecenderungan untuk berfikir ke arah itu.
Beliau berkata, parti komponen kedua terbesar dalam BN itu tidak seharusnya terfikir untuk meninggalkan gabungan itu semata-mata kerana ingin meninggalkannya atau kerana anggotanya marah kepada seorang dua individu yang ada dalam BN, tetapi sebaliknya perlu melihat kepada kesan jangka panjang jika mereka berbuat demikian.
"Sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia, memerlukan percampuran bagi mewujudkan suasana aman untuk setiap orang.
"Oleh itu, jika semua parti berasaskan kaum Cina berpihak kepada pembangkang dan hanya parti berasaskan orang Melayu sahaja menjadi parti pemerintah, maka sudah pasti suasana tegang akan wujud di negara ini dan keadaan ini tidak baik untuk perniagaan dan ekonomi.
"Keputusan seperti ini memang indah untuk didengar, tapi majoriti senyap berpendapat kita perlu memikirkan semula keputusan demikian. Saya tidak akan menggalakkan anggota senior terlalu banyak bercakap tentang perkara ini kerana menyedari bahawa sekiranya kita ingin membuat sesuatu keputusan, kita perlu tunggu hingga kepimpinan baru mengambil alih pada 18 Oktober ini," katanya kepada pemberita di luar Konvensyen MCA Selangor di sini.
MCA akan mengadakan pemilihannya bulan depan bagi memilih Presiden, Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan 25 anggota jawatankuasa pusat.
No comments
Post a Comment