Agen Amerika: AMK bidas kenyataan biadap Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) -Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan biadap dan dangkal yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Negeri,Dato' Seri Dr Rais Yatim hari ini yang cuba menimbulkan spekulasi mengenai hubung kait Amerika Syarikat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Iklan




Dalam laporan tersebut, Rais dipetik sebagai berkata Wisma Putra memperoleh maklumat bahawa ada pihak tertentu dari Amerika Syarikat dan Anwar Ibrahim untuk memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan Malaysia.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin, berkata, kenyataan biadap itu dipercayai usaha terdesak Umno-BN melalui propaganda murah akhbar arus perdana yang dilihat mahu merosakkan sokongan rakyat di sebalik kemelut kepimpinan negara yang dihadapi oleh Umno khususnya.

Katanya, propaganda murahan mengaitkan 'Anwar Agen Amerika' ini telah disebar luas sebegitu lama, terutama sewaktu kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh pada bulan Ogos lepas.

"Tanpa mereka sedari, di bawah kerajaan Umno-BN jugalah Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) antara Malaysia-Amerika Syarikat begitu hebat digerakkan dalam keadaan FTA ini ditentang oleh kebanyakan ahli ekonomi dan rakyat peringkat pertengahan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Jelasnya, kebergantungan ekonomi Malaysia ke atas Amerika Syarikat juga memperlihatkan ia menyumbang hampir 53.2 peratus jumlah eksport Malaysia sehingga Jun 2008. Ini pastinya berlaku di bawah pentadbiran Umno-BN tanpa sebarang campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Shamsul juga berkata, tahun 2002 Umno sendiri sanggup menggadai sebanyak RM4.6 juta wang rakyat hanya semata-mata mahu mengupah pelobi Yahudi, Jack A. Abramoff untuk mengatur pertemuan antara Mahathir Mohamad dengan Presiden George Bush.

AMK yakin dan percaya propaganda murahan begitu terdesak direncanakan memandangkan mereka gagal menyekat kemaraan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya dalam tempoh terdekat.

"AMK mendesak agar Rais Yatim memberikan justifikasi jelas mengenai tuduhan palsu beliau dengan kadar segera. "AMK juga tidak teragak-agak untuk menyaman akhbar terbabit kerana bertindak mengapi-apikan sentimen rakyat dengan nilai pemberitaan yang rendah dan jumud sekiranya mereka gagal menarik balik berita tersebut dalam tempoh 24 jam,"tegasnya. - mks. _

No comments

Powered by Blogger.