Najib Harap Pembebasan Teresa Dapat Redakan Isu ISA

PEKAN, 19 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pembebasan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dari tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dapat meredakan isu penahanan di bawah akta itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menyambut baik pembebasan itu jika polis memikirkan ia sesuatu yang wajar dilakukan.

"Itu keputusan pihak polis, jadi kalau pihak polis memikir dia wajar dibebaskan, saya mengalu-alukan tindakan yang dibuat pihak polis, dan harap akan meredakan isu ISA, dan menunjukkan kerajaan amat mementingkan keselamatan negara kita dan keamanan negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampian zakat bagi Parlimen Pekan di sini.

Beliau mengulas pembebasan Teresa Kok, yang juga anggota exco kerajaan negeri Selangor itu pada pukul 1.30 tengah hari ini setelah ditahan lapan hari mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan berkata polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Kok semasa siasatan dijalankan, dan tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan.

Di KUALA LUMPUR, Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam satu kenyataan berkata partinya menyambut baik pembebasan Teresa dan menghargai kejujuran dan keseriusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya sempat bertemu Perdana Menteri Selasa lepas dan beliau memberi jaminan kepada saya bahawa polis telah diberitahu agar tidak menahan Teresa dan penulis blog Raja Petra Kamaruddin lebih sehari dari yang perlu untuk siasatan dan prosedur lain," kata Dr Koh.

Bagaimanapun, kata beliau, kini masanya ISA dipinda, walaupun tidak dihapuskan sama sekali, "bagi mengelakkan apa yang rata-rata menganggap sebagai salah guna".

Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata pembebasan Teresa membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) telus dan tidak mengambil kesempatan.

"Ini juga membuktikan bahawa ISA masih relevan di negara kita yang berbilang kaum dan kerajaan juga tidak akan menahan seseorang individu itu dalam tempoh yang lama sehingga 60 hari sekiranya hasil siasatan mendapati mereka tidak bersalah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

-- BERNAMA

kalau ahmad hulubangang yang kkena isa macam mana??? bilik hawa dingin apa?

No comments

Powered by Blogger.