Kedua- Dua Pertuduhan Ke Atas Saya Tidak Betul - Teresa

Saya menafikan kedua-dua pertuduhan itu kerana saya tidak pernah melakukannya

Saya menafikan kedua-dua pertuduhan itu kerana saya tidak pernah melakukannya.Isu ini timbul adalah kerana fakta yang tidak tepat yang disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan - Teresa Kok

Teresa Nafi Cetus Isu Azan

PETALING JAYA, 19 Sept (Bernama) — Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menafikan bahawa beliau mencetuskan isu larangan laungan Azan di Selangor dan desakan supaya 30 peratus pendapatan Jabatan Agama Islam Selangor diagihkan kepada agensi-agensi bukan Islam.

“Saya menafikan kedua-dua pertuduhan itu kerana saya tidak pernah melakukannya,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DAP di sini sejurus selepas pembebasannya.

Isu ini timbul adalah kerana fakta yang tidak tepat yang disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan, katanya.

Mengenai isu papan tanda tulisan jawi, katanya teguran yang beliau berikan adalah atas desakan Persatuan Penduduk Taman Seputeh yang tidak bersetuju dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kerap kali menukar papan tanda.

“DBKL kerap menukar papan tanda beberapa bulan sebelum ini dan menukarnya semula selepas itu kepada tulisan jawi. Isu yang dibangkitkan adalah pembaziran yang dilakukan bukan soal penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda,” katanya.

Mengenai siasatan sepanjang penahanannya selama lapan hari, beliau berkata, “Saya agak terkejut tidak ada soalan lain diajukan kepada saya selain soalan-soalan tersebut”.

Menurut beliau penangkapan di bawah ISA sepatutnya menjurus kepada mereka yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan bukan kerana isu-isu seperti ini.

“Saya rasa tindakan ISA tidak wajar kerana penahanan ini berlaku disebabkan oleh dakwaan tanpa usul periksa terhadap kenyataan saya yang dimanipulasikan di dalam surat khabar,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.