Mukhriz: Tindakan Sekat Anggota Umno Bertemu Pemimpin Dan Calon Perlu Dihentikan

JOHOR BAHARU, 21 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO meminta tindakan menyekat anggota parti bertemu dengan pemimpin atau calon-calon dihentikan dengan segera kerana ia tidak selari dengan amalan demokrasi di dalam parti itu.

Katanya, ada anggota Pemuda UMNO yang disekat daripada bertemunya manakala ada di antara mereka turut tidak dibenarkan bersama-sama di dalam majlis-majlis yang beliau hadiri.

"Saya nampak ada elemen tidak sihat (di dalam kempen merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO) di dalam bentuk sekatan, apabila saya dijemput berjumpa kawan-kawan di bahagian, ada pihak tertentu (anggota Pemuda) tidak dibenarkan bersama.

"Apa sebabnya itu sendiri kita boleh tafsirkan, tetapi amalan ini (sekatan) tidak sihat lebih-lebih lagi kita mengamalkan sistem demokrasi dalam parti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Jawatan Ketua Pemuda setakat ini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mukhriz, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin, Anggota Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.

Mukhriz berkata sekarang adalah masa yang tepat bagi UMNO memberikan peluang seluas-luasnya kepada anggota parti untuk mengenali pemimpin dan calon-calon yang akan bertanding merebut jawatan.

Beliau mempersoalkan bagaimana anggota parti hendak menunaikan tanggungjawab memilih calon-calon pilihan mereka, jika mereka tidak dibenarkan bertemu dengan calon terbabit.

"Amalan sekat menyekat ini perlu dihapuskan terus. Buka kepada semua orang, sesiapa yang menawarkan diri berikan peluang kepada mereka untuk menjelaskan bentuk perjuangan yang mereka hendak bawa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga kesan daripada tindakan sekatan itu memihak kepadanya, memandangkan beliau merupakan "underdog" di dalam persaingan Ketua Pemuda dan terpaksa menongkah arus untuk mendapat sokongan perwakilan.

Secara keseluruhannya, Mukhriz berkata kempennya untuk merebut jawatan Ketua Pemuda telah menerima sambutan baik, terutamanya selepas beliau mengadakan pertemuan dan berinteraksi dengan anggota UMNO di peringkat akar umbi.

"Saya melihat mereka berkongsi pandangan yang sama, iaitu UMNO memerlukan pembaharuan yang ketara terutamanya di kalangan orang muda. Tema 'Berani Berubah' yang saya perjuangkan, diterima dan menepati citarasa mereka," katanya.

Beliau berkeyakinan mampu memperolehi pencalonan yang mencukupi bagi membolehkannya bertanding bagi jawatan tersebut.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.