Apakah Motif Rais Sebenarnya?



SEMASA menyampaikan penerangan berhubung isu-isu semasa di Angkasapuri hari ini Menteri Luar, Dr Rais Yatim menonjol dan menghuraikan Raja-Raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong ada tiga kuasa unit yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan kuasa itu adalah hak mutlak Duli-Duli Raja dan Yang Di-Pertuan Agong.

Tiga kuasa itu katanya, i) berhubung perlantikan Menteri Besar bagi Sultan dan perlantikan Perdana Menteri bagi Yang di-Pertuan Agong, ii) soal membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi Raja-Raja manakala pembubaran Dewan Rakyat bagi Yang di-Pertuan Agong dan iii) berhubung mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu dan juga bersangkutan soal-soal adat istiadat dan agama Islam.

Menurutnya mana-mana pihak tidak boleh mempersoal ke atas ketiga aspek itu kerana ianya adalah hak mutlak Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.

Secara umum Rais menimbulkan perkara itu bagi memberi kefahaman kepada orang ramai berhubung isu dan juga persoalan mengenai status dan kuasa Sultan dengan apa yang berlaku di negeri Perak dewasa ini.

Apa yang ingin dijelaskan Rais, Sultan mempunyai kuasa yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak dan tindakan Sultan Azlan melucut jawatan Nizar Jamaluddin dan melantik Zambry Abdul Kadir itu adalah benar.

Bagaimana pun jika dipadankan kepada senario yang berlaku dalam Umno dewasa ini, penjelasan dan penegasan Rais itu seolah-olah bersifat serampang dua mata. Rais bukan saja ingin menjelaskan kepada rakyat yang tidak faham dan buta mengenai kuasa sultan di Perak dalam soal melantik Menteri Besar dan kuasa memecatnya dan sebagainya, tetapi beliau juga persis ingin menyampaikan mesej kepada Umno sendiri.

Apakah penjelasan itu ada kena mengena dengan desas desus atau teori yang disebarkan secara senyap kini kepada orang ramai kini berhubung perlantikan Perdana Menteri apabila Abdullah Ahmad Badawi berhenti nanti!

Ada teori dan hepotesis mengatakan tidak semestinya kalau Abdullah mengosongkan kerusi PM beliau akan diisi oleh Mohd Najib Razak secara automatik. Peralihan kuasa dan jawatan itu terletak di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bukan Umno seperti mana jawatan presiden Umno.

Mengikut teori itu saat inilah nanti Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk menamakan sesiapa saja uantuk menjadi Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan Parlimen. Dalam hubungan ini disebabkan Umno - BN memperolehi majoriti sesiapa yang mendapat kepercayaan parti itu dan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dialah berhak menjadi Perdana Menteri.

Dalam erti kata sebenarnya tokoh itu tidak semestinya Mohd Najib Razak walaupun timbalan perdana menteri itu disebut dan ditunjuk oleh Abdullah. Abdullah tidak ada kuasa mutlak bagi menentukan sesiapa sebagai perdana menteri. Kedudukan ini jelas dalam perlembagaan persekutuan.

Dalam hal ini ada mengatakan seorang tokoh lain akan dipilih untuk menenuhi jawatan berkenaan. Yang di-Pertuan Agong berhak membuat pilihan itu dan memberi perkenan kepada sesiapa saja. Adapun sebab-sebab kenapa Najib dikatakan tidak akan dipilih sebab-sebabnya seperti kebanyakan disebut orang.

Apakah sekiranya takdir ini berlaku kelak orang-orang Umno khasnya yang mendokong Najib sedia untuk menerima dengan seadanya. Tidak akan ada protes dan kritikan atas pilihan Yang di-Pertuan Agong kelak seperti mana segelintir rakyat Perak tidak mahu mengikhtiraf perlantikan Zambry Abdul Kadir?

Dalam hal ini apa yang dijelas dan ditegaskan Rais berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja itu semacam ada undang di sebalik batu. Ianya bukan sengaja suka-suka melontarkannya melainkan untuk dihayati dan sedia berhadapan sekiranya sesuatu yang di luar dugaan berlaku.

Sekiranya diingatkan kepada sejarah masa lampau, Rais adalah orang yang sepasukan dengan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Chik iaitiu menteri tempat Rais menyampaikan syarahan menjelaskan kuasaa-kuasa berkenaan. Mereka juga adalah bekas pemimpin tertinggi Parti Semangat 46, Rais ialah timbalan presiden manakala Shabery adalah Ketua Penerangan.

Apakah penjelasan mengenai kuasa Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong itu satu agenda ataupun berlaku secara tidak sengaja yang semuanya dilakukan penuh ikhlas untuk memperkukuhkan Umno?

Kerana politik itu perlu ditafsirkan dengan menggunakan banyak kitab dan ditilik dengan berbagai cermin sakti maka persoalan ini terpeta di minda kita. Mungkin tujuan Rais menjelaskan mengenai kedudukan kuasa Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong yang unit itu ada motif tersirat. Apa?


mso

No comments

Powered by Blogger.