bukit selambau: gempak calon bebas

SUNGAI PETANI 29 Mac — Tiga calon Bebas yang telah mengesahkan diri bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada pilihan raya kecil 7 April ini, bersedia menarik diri atas alasan sendiri.

Mejar (B) Anuar Abd Hamid berkata beliau sedia menarik diri daripada bertanding jika bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed kembali menyertai Umno.

“Saya ikut Dr Mahathir keluar parti tahun lepas dan kalau Dr Mahathir masuk semula parti, saya sedia mempertimbangkan untuk tarik diri dari bertanding,” kata bekas anggota jawatankuasa Umno Bahagian Merbok itu yang sudah 20 tahun melibatkan diri dalam politik kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Mahathir mengumumkan akan kembali menyertai Umno selepas berakhirnya Persidangan Agung Umno di Kuala Lumpur semalam.

Seorang lagi calon Bebas, Khamis Awang berkata beliau sedia menarik diri bagi memberi peluang lebih besar kepada calon Bebas lain atas dasar perpaduan dengan syarat calon itu berjanji tidak menyertai mana-mana parti jika menang kelak.

Abdul Rahim Abu pula berkata beliau sedang mempertimbangkan secara serius untuk menarik diri ekoran terdapat beberapa calon Melayu bertanding atas tiket Bebas di kerusi itu kerana tidak mahu undi Melayu berpecah.

“Untuk orang Melayu, saya sedia buat apa saja. Saya sanggup bertanding dan memperjuangkan nasib orang Melayu dan saya juga sedia memberi laluan kepada orang Melayu lain. Saya tidak ada kepentingan apa-apa,” katanya.

Calon lain yang akan bertanding atas tiket Bebas ialah Husaini Yaakob, Radzi Md Lazim, Mohd Fadzil Wahab, S. Moganakumar, Venason Michael, L. Sarala, T.

Chandrarajan, R. Loganathan, Tan Hock Huat dan A. Jayagopal.

Kerusi itu menyaksikan pertandingan 15 penjuru termasuk calon Barisan Nasional (BN) S. Ganesan dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) S. Manikumar. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.