Umno Gagal Mendapat Pemimpin Bersih.

Oleh Rasim Kassim

Hari ini saya minum pagi di Restoran Habib, Bandar Baru UDA. Di sinilah tempat "berlonggok" usahawan-usahawan kecil, kalangan profesional bumiputera dan juga ahli-ahli politik. Dari pagi sampailah tengah malah restoran ini tidak pernah sunyi dengan kumpulan-kumpulan ini.

Sedang saya minum, masuklah seorang kenalan yang merupakan seorang kontraktor kecil bumiputera. Disamping berniaga sebagai kontraktor, dia juga aktif dalam politik UMNO di peringkat bahagian. Baru malam tadi dia pulang dari menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur sebagai perwakilan.




Saya mempelawanya untuk minum bersama. Dia bersetuju dan terus duduk di meja saya sambil memesan teh tarik. " Lima hari di Kuala Lumpur, rindu saya dengan teh restoran Habib ini", katanya memulakan perbualan.

"Bagaimana persidangan di Kuala Lumpur, nampak macam ada perubahan besar pemilihan kali ini. Banyak muka-muka baru jadi MT", saya memulakan perbualan dengan tajuk yang masih panas diperkatakan sekarang.

"Mana berubahnya, makin teruk adalah" kata kenalan saya itu. "Kalau macam inilah gayanya UMNO memilih pemimpin, saya tidak hairan kalau UMNO akan ditolak terus oleh rakyat dalam PRU 13 nanti", katanya menambah.

"Penyakit rasuah ini betul-betul telah membudaya dalam UMNO. Walaupun pemimpin atasan dan veteran UMNO menyeru supaya menolak pemimpin-pemimpin yang mengamalkan rasuah tetapi perwakilan tetap memilih kalangan yang menghulurkan sesuatu kepada mereka", tambah teman saya itu.

"Awak lihatlah di Johor ini sendiri, kalangan pemimpin yang boleh diharap dan dipercayai seperti Datuk Shahrir, Datuk Ghani, Syed Hamid dan Datuk Khalid Nordin, kalah kerana tidak bersedia untuk memberikan wang kepada perwakilan", ujar teman saya itu dengan penuh emosi.

"Apa hebatnya, Datuk Abdul Aziz Rahim, Datuk Zainal Abidin Osman, Senator Datuk Azian, yang menang dengan undi yang banyak sedangkan mereka ini kalah dalam pilihanraya, kalau mahu di bandingkan dengan Datuk Ghani, Datuk Khalid, Syed Hadid dan Datuk Shahrir yang telah menyelamatkan maruah UMNO dalam PRU 12 yang lalu", dakwa teman saya itu.

Saya hanya terdiam mengiakan sahaja kata-kata teman saya yang sedang beremosi itu. Nampak benar kekecewaannya dengan keputusan pemilihan UMNO kali ini.

"Kamu marah sangat ini kerana banyak pemimpin Johor yang kalah kot ?" saya cuba memancing.

"Ini bukan pasal Johor atau kerana pemimpin negeri saya kalah tetapi kenyatannya memang ramai pemimpin yang bertanding masih mengamalkan sogokkan wang. Saya perwakilan, saya tahulah siapa memberi dan siapa yang tidak", ujarnya.

"Yang tidak bersedia untuk menghulur, bersedialah untuk ditolak oleh perwakilan walaupun rekod perkhidmatannya dalam parti dan kerajaan begitu baik sekali, seperti Datuk Shahrir", tambah teman saya itu.

Menurut teman saya itu, kalangan menteri-menteri besar yang bertanding memang tidak memberikan sogokan kerana mereka mahu budaya politik wang itu dihapuskan terus dari UMNO. Sebagai Ketua UMNO negeri mereka berusaha untuk membetulkan semula UMNO bagi menghadapi pilihan raya ke 13 nanti. Tetapi akibatnya mereka kalah dalam pertandingan.

Beliau juga menambah, perkara ini berlaku kerana ahli-ahli UMNO yang menjadi perwakilan tidak ada kesedaran untuk memperbaiki parti dan ini diburukkan lagi oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggung jawab yang hanya memikirkan untuk memenangi jawatan dalam MT sahaja.

Beliau berharap, Datuk Seri Najib yang akan menjadi Perdana Menteri sedikit masa lagi tidak terikat melantik menteri kabinetnya dari kalangan MT yang menang tetapi haruslah diberikan kepada mereka yang benar-benar berwibawa dan berintergriti

No comments

Powered by Blogger.