Enam syarikat MB Inc untung, tiga rugi: Khalid

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini berkata enam syarikat di bawah Menteri Besar Inc (MB Inc) mencatatkan keuntungan sementara tiga lagi merekodkan kerugian bagi tahun kewangan 2008.

Kumpulan Darul Ehsan Bhd mencatat keuntungan RM27.8 juta, Permodalan Negeri Selangor Bhd (RM19.2 juta), Selangor State Investment Centre Bhd (RM1.1 juta), Pendidikan Industri Yayasan Selangor Bhd (RM6.1 juta), MSNS Holdings Sdn Bhd (RM246,654) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM2.5 juta).

Tiga syarikat yang mengalami kerugian ialah Rantaian Mesra Sdn Bhd (RM151,240), Tourism Selangor Sdn Bhd (RM35,038) dan Bukit Beruntung Golf & Country Resort Bhd (RM186,219).

Abdul Khalid berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Haniza Mohamed Talha (PKR- Taman Medan) mengenai bilangan syarikat di bawah MB Inc serta jumlah syarikat yang membuat keuntungan dan kerugian, ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Beliau berkata, pengurusan dan pentadbiran syarikat-syarikat yang mengalami kerugian akan diubah suai.

"Tidak banyak syarikat di bawah MB Inc yang mengalami kerugian. Bagaimanapun, jika syarikat terus rugi, kita akan tentukan semula sama ada akan meneruskan atau menutup operasi," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.