Kemenangan KJ Mencacatkan UMNO
Ini pendapat peribadi saya.
Sehingga sebelum keputusan pemilihan Pemuda UMNO diumumkan saya berasa sedikit teruja kerana nampaknya UMNO sedang berada di landasan yang betul untuk melakukan perubahan. Mendengar inti ucapan bakal peneraju UMNO, Dato’ Seri Mohd. Najib semalam, diikuti dengan kemenangan Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita dan Sdri. Rosnah sebagai Ketua Puteri saya hampir berasakan UMNO akan melakukan perubahan total.
Namun apabila Saudara Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO, hati saya sedikit menolak dan berasakan Khairy akan terus menjadi “lubuk serangan” pembangkang terhadap UMNO di bawah Dato’ Seri Najib nanti.
Faktor sekeliling banyak mempengaruhi saya. Sebab itu saya katakan ini pendapat peribadi. Tinjauan Merdeka Centre menunjukkan Mukhriz Mahathir sebagai calon Ketua Pemuda “pilihan rakyat”. Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo di nombor dua sebagai pilihan rakyat dan Khairy Jamaluddin sebagai pilihan ketiga. [Klik di sini dan sini untuk membaca laporan lanjut] Ya, itu “pilihan rakyat” dan saya cenderung mahu menyetujui pilihan rakyat. Mungkin disebabkan itu saya agak tidak gembira dengan kemenangan Khairy itu.
Sayangnya saya bukanlah siapa-siapa. Cuma seorang rakyat yang kecil. Bukan ahli UMNO dan bukan ahli PAS atau PKR. Khairy dipilih oleh perwakilannya yang bersidang hari ini. Soal kenapa perwakilan memilih Khairy, itu kenalah tanya kepada perwakilan. Mungkin Khairy juga mempunyai jawapan kenapa perwakilan memilihnya? Kita tunggulah beberapa hari lagi….
Kenapa saya tidak menyenangi kemenangan Khairy? Ini pendapat peribadi saya. Faktor paling besar mempengaruhi saya ialah keputusan Lembaga disiplin UMNO yang “memberi amaran” kepada Khairy kerana terlibat dalam rasuah (politik wang). Malah, Khairy didapati bersalah pun, cuma dia tidak dihukum dan tidak digantung dan tidak dihalang untuk terus bertanding jawatan Ketua Pemuda.
Pokoknya beliau sudah terpalit dengan aktiviti rasuah itu. Soal hanya diberi amaran atau menerima hukuman ringan bukan isunya. Pokoknya kalau mencuri telur sebiji sama saja dengan mencuri ayam sereban. Mencuri tetap mencuri. Rasuah tetap juga rasuah walaupun seringgit.
Pada saya, kemenangan Khairy yang dipikul bersama tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO itu sedikit banyak boleh mencacatkan UMNO yang sudah “kelihatan cacat” sejak Pilihanraya Umum Ke-12 tahun lalu.
Tetapi apa nak buat. Itulah pilihan perwakilan Pemuda UMNO. Tahniahlah kepada KJ! Saya sesekali tidak untuk tidak menyenangi peribadinya. Khairy seorang pemuda yang progresif, karismatik dan yakin. Itu diketahui umum. Saya juga kagum dengan kepetahan pidato dan oratornya. Semoga Khairy boleh meneruskan agenda perubahan UMNO seperti yang diperkatakan.
Kita tunggu dan lihat saja. Ini pendapat peribadi saya saja.
Sila baca pendapat Faisal Tehrani tentang kemenangan Khairy Jamaluddin di sini.





(1).png)

No comments
Post a Comment