Kuli tawar mansuh AUKU, pimpin ‘kerajaan perpaduan’
Parlimen Malaysia 12 Mac 2.28pm | Selain menyatakan kesediaan memimpin gagasan Kerajaan Perpaduan Malaysia Mac depan, Tengku Razaleigh Hamzah turut menyatakan komitmen memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU); di sini.
Dan macam universiti-universiti, cukuplah kita (pemerintah) kongkong terlampau kuat sangat dengan akta universiti dan kolej (AUKU). Sepatutnya kita longgarkan atau mansuh terus supaya mereka (mahasiswa dan ahli akademik) bebas; bebas bersuara, bebas bercampur (bersosial) dapat mencari ilmu dalam keadaan yang baik,” seperti yang diberitahu dalam temubual bersama siasah dan tvpas Selasa lepas.
Baginya, pengalaman 53 tahun merdeka sepatutnya memberi ruang yang lebih kepada rakyat dan mahasiswa untuk memanfaatkan demokrasi negara.
Sebaik-baiknya dengan pelajaran dan pendidikan yang kita (pemerintah) lakukan kepada rakyat jelata, mereka boleh manfaatkan demokrasi sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan mantan Menteri Kewangan Malaysia turut mengkritik sikap segelintir pemerintah (UMNO/BN) yang mengongkong kebebasan maklumat, kebebasan bersuara dan sebagainya.
Pun begitu, beliau masih mengakui peranan pemerintah dalam memelihara keselamatan nasional di samping terus menggalakkan penyemarakan demokrasi negara dan kampus.
Hasratnya, kerajaan perpaduan juga seharusnya menggalakkan pembinaan dan fungsi public opinion (pandangan umum rakyat).
Dalam demokrasi, public opinion (atau) pandangan orang ramai ini…sangat mustahak supaya ia dapat menyebarkan maklumat ini kepada semua pihak. Itulah erti demokrasi (kerajaan perpaduan) - bebas bersuara, bebas bergerak (dan) bebas bercampur (bermasyarakat) dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Wartawan Mohd Nazri Abdullah memaklumkan bahawa Tengku Razaleigh turut berhasrat untuk bertemu pemimpin-pemimpin mahasiswa untuk merealisasikan cita-cita ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ sebelum Mac depan.
Dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh turut menyatakan iltizam politiknya untuk berkongsi pendapat bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa berhubung kemelut politik dan krisis ekonomi nasional.
Setiausaha Politik bagi Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Shafie Hashim ketika dihubungi mengambil sikap positif atas iltizam politik tengku Razaleigh tersebut.
Kita positif…atas nama menangani krisis ekonomi dan kemelut politik, kita (mahasiswa) perlu duduk dengan semua pihak, termasuk Kuli (Tengku Razaleigh). Soal bila, di mana dan atas wazan apa, itu perlu dibincangkan secara muafakat kelak dalam kalangan seluruh kepemimpinan kita peringkat Universiti dan nasional,” ulas Shafie.
Setiausaha Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Mohd Syaari Abdul Rahman turut dihubung untuk mendapat respon balas, tetapi gagal.
Terdahulu, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang melontarkan gagasan ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ yang mahu tidak ada lagi ‘pembangkang’ dalam kerajaan; demi menangani kemelut politik nasional dan krisis ekonomi global.
Visual eksklusif bersama tokoh politik Melayu Tengku Razali Hamzah akan menyusul kemudian -mahasiswakini
No comments
Post a Comment