Muthupalaniappan dakwa taktik kotor dalam pemilihan Presiden MIC

KUALA LUMPUR 10 Mac — Bekas naib presiden MIC Datuk M.Muthupalaniappan yang telah mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden parti itu, mendakwa terdapat beberapa pemimpin MIC menggunakan taktik kotor bagi menghalang cubaannya itu agar Datuk Seri S.Samy Vellu mengekalkan kerusi itu tanpa ditandingi.

Mereka ini, katanya, telah meminta beberapa ketua cawangan menandatangani borang pencalonan untuk Samy Vellu sedangkan ketua-ketua cawangan ini telahpun menandatangani borang menyokong beliau, dan dengan itu, borang mereka ini dianggap tidak sah.

“Golongan ini berpendapat jika ketua cawangan menandatangani dua borang pencalonan, satu untuk saya dan satu lagi untuk Samy Vellu, maka pencalonan mereka akan dibatalkan, dan saya tidak akan mendapat 50 pencalonan untuk layak bertanding,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Muthupalaniappan, 66, berkata niat golongan itu adalah untuk menjadikan pencalonannya tidak sah tetapi beliau mempunyai cara untuk menangkis cubaan itu.

Presiden MIC akan dipilih oleh 3,700 ketua cawangan di seluruh negara.

Penamaan calon ialah 22 Mac ini dan pengundian ditetapkan pada 12 April.

Samy Vellu menjadi Presiden MIC sejak 28 tahun lepas.

Satu lagi isu yang dibangkitkan oleh Muthupalaniappan ialah langkah ibu pejabat MIC mengeluarkan dua set borang penamaan, satu mempunyai nama Samy Vellu dan satu lagi kosong.

Katanya borang yang ada nama Samy Vellu mudah diperoleh oleh ketua cawangan tetapi borang yang kosong hanya dikeluarkan selepas didesak dan dipujuk.

“Jika mereka keluarkan borang kosong, mereka takut ketua cawangan akan mencalonkan saya,” kata Muthupalaniappan sambil mencadangkan agar borang berkenaan dikeluarkan oleh jawatankuasa pemandu pemilihan dan bukannya oleh ibu pejabat parti.

Beliau berkata taktik kotor tidak perlu diamalkan dalam pemilihan parti kerana jika ahli menyokong seseorang itu, mereka akan pasti mengundinya.

“Janganlah paksa orang memilih kita,” katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.