Najib,Muhyiddin Dan Mahathir Pening Kepala .

Oleh Nur Aflah

Beberapa jam sahaja lagi, Najib akan ditabalkan sebagai Presiden UMNO yang s ah bagi menggantikan Abdullah Badawi. Najib telah menang tanpa bertanding kerana lawannya, Ku Li gagal mendapat pencalonan yang diperlukan.

Ketika merasmikan perhimpunan wanita, pemuda dan puteri UMNO, Najib mencadangkan agar sistem kuota dihapuskan. Pada beliau, sudah tiba masanya barisan kepimpinan UMNO ditentukan sendiri oleh 3 juta ahlinya. Menurutnya lagi, dengan mengkaji semula sistem kuota itu, amalan salahlaku politik seperti rasuah boleh dihapuskan.


Pada pendapat saya, cadangan itu sudah terlambat untuk dilaksanakan. Sepatutnya, sistem kuota itu sudah pun dihapuskan sebelum pemilihan kali ini. Jika itu dapat dilakukan, mungkin hari ini perwakilan UMNO akan menentukan samada Najib, Ku Li atau juga calon lain yang lebih layak menggantikan Abdullah Badawi. Bila cadangan itu dibuat setelah kemenangan Najib dijamin, ianya sekadar satu tindakan populis Najib.

Isu PPSMI

Pendirian Najib mahu meneruskan perlaksanaan PPSMI sudah dapat dijangka. Najib dilihat tidak mahu berkonfrontasi dengan Tun Mahathir kerana beliau amat memerlukan sokongan Tun yang sebelum ini begitu lantang mengkritik Abdullah Badawi.

Sebelum ini pun, Najib sudah membatalkan pembinaan LCCT di Labu kerana mendapat tentangan dari Tun Mahathir. Malah, saranan Tun agar LCCT baru dibina di sayap KLIA telah diterima oleh Najib.

Semalam, usul perwakilan wanita UMNO untuk menghapuskan terus perlaksanaan PPSMI menarik perhatian ramai. Usul itu jelas tidak selari dengan kehendak Najib dan ianya seolah-olah memberikan petunjuk awal yang kepimpinan Najib belum lagi mendapat sokongan yang menyeluruh daripada perwakilan UMNO.

Kemenangan Khairy

Najib mahukan pemimpin yang ‘berani berubah’. Pemimpin yang dimaksudkannya itu adalah Mukhriz. Ternyata perwakilan pemuda tidak menghiraukan permintaan Najib dan memberikan kemenangan kepada Khairy Jamaludin.

Kemenangan Khairy memberikan tamparan hebat kepada Najib dan Tun Mahathir. Malah ketika pengumuman dibuat malam tadi, penyokong Mukhriz ternyata begitu kecewa sehingga berlaku perang mulut dan ejek-mengejek di lobi dewan. Jika penyokong Khir dan Mukhriz berterusan tidak dapat menerima kemenangan Khairy, berkemungkinan besar UMNO akan terus bergolak.

Selepas ini, Najib akan berhadapan dengan Khairy yang mewakili regu Pak Lah. Mahu atau tidak mahu, Najib perlu memberikan kerusi kabinet kepada Khairy. Apakah kementerian yang bakal diterajui oleh Khairy? Mungkinkah Kementerian Belia dan Sukan?

Pemerhati politik sedang menantikan komen dari Tun Mahathir mengenai kemenangan Khairy. Apakah yang diperkatakan oleh Tun? Jika komen yang diberikan itu sesuatu yang bersifat negatif, Najib juga akan terkena lumpurnya.

Kebangkitan orang Abdullah

Kekalahan Rafidah dan Mukhriz adalah petanda perwakilan UMNO mahukan Najib keluar dari kepompong Mahathirisme. Shahrizat dan Khairy adalah orang Abdullah dan sudah tentu, kedua-duanya akan cuba mengekalkan pengaruh Abdullah Badawi dalam era pentadbiran Najib.

Hari ini, perwakilan UMNO akan menentukan pula nasib Muhyiddin, calon pilihan Najib yang digelar ‘berani menegur’. Dalam jangkaan ramai pihak, Mat Taib boleh mengalahkan Muhyiddin jika momentum semalam masih berterusan hari ini. Penyokong Ali Rustam yang kecewa dengan tindakan Lembaga Displin UMNO sudah bersedia untuk memalukan pilihan Najib.

Kini, sudah ada suara-suara yang berkata, “bukan UMNO yang akan rebah jika UMNO tidak mahu berubah
tapi Najib yang akan rebah jika Najib tidak mahu mengalah!”.

No comments

Powered by Blogger.