PAS: KAMI MASIH KONSISTEN DALAM PERJUANGAN

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS masih konsisten dalam perjuangannya.

Ini walaupun ada dakwaan oleh pesaingnya, Umno, bahawa PAS telah berada jauh daripada ideologinya sejak ia menjalin pakatan dengan dua parti pembangkang lain yang lebih sekular - Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) - selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lalu.

‘Undang-undang Islam tidak pernah berubah. Ada syarat-syaratnya yang harus dipenuhi sebelum undang-undang Islam boleh dilaksana. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa, tetapi undang-undang itu tidak boleh dimansuh apabila syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi,’ katanya dalam wawancara dengan laman berita The Malaysian Insider baru-baru ini.

Pendirian PAS berdasarkan bertambahnya peranan Islam dalam pentadbiran negara menjadi halangan kepada kerjasama lebih rapat di kalangan parti pembangkang utama Malaysia.

Satu pakatan ‘longgar’ yang dibentuk pada malam sebelum pilihan raya umum 1999 - Barisan Alternatif - runtuh dua tahun kemudian akibat perbezaan ideologi.

Namun, pada pilihan raya umum lalu PAS mengubah pendekatanya dengan berkempen atas platform mewujudkan negara berkebajikan. Tetapi, Datuk Seri Abdul Hadi berkata ideologi parti itu tidak berubah.

BN mendakwa PAS berdolak-dalik dalam pendiriannya semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu Januari lalu.

‘PAS tidak ada masalah dengan sebarang parti. Kami percaya pada Islam, yang diamalkan dengan jayanya sejak 1,300 tahun lalu,’ kata Datuk Seri Abdul Hadi.

‘Kejatuhan pemerintah Islam bermula apabila pemimpin Islam meninggalkan ajarannya dan bukan kerana Islam itu lemah,’ tambahnya.

Datuk Seri Abdul Hadi berhujah PAS telah berjaya menarik minat masyarakat bukan Islam yang telah melihat pembaharuan dalam parti itu melalui pembentukan kelab penyokongannya.

‘Malah, kami telah mengubah tanggapan bukan Islam terhadap Islam. Kami telah merapatkan jurang antara kami dengan bukan Islam,’ tegasnya sambil menambah PAS telah meraih manfaat dengan menyertai Pakatan Rakyat (PR).

Sumber: Berita Harian Singapura.

No comments

Powered by Blogger.