Penyokong Khairy mengaku rasuah, maka bermulalah cabaran Khairy
Cabaran besar Khairy untuk membersihkan imej rasuahnya. Pengakuan penyokong Khairy mengamalkan rasuah di gambar atas dan video laungan KJ! ... Rasuah! ... di sini.
Menang dan kalah itu adat pertandingan. Yang menang pasti gembira. Yang kalah akan ada yang kecewa. Bagi saya, ianya perkara biasa.
Pada umur melampaui umur "menerima wahyu", saya tidak tahu bersedih sangat dalam kekalahan dan bergembira sangat dalam kemenangan. Semuanya sudah saya lalui. Esok harinya roda kehidupan berterusan lagi dan perjalanan mencari erti kehidupan dan menyambung erti kewujudan insan berterusan.
Saya akan gembira dan sedih hanya bergantung kepada apa yang jadi nawaitu sebelum saya melakukan sesuatu, waima nawaitu asal saya bertanding atau terlibat dalam satu-satu pertandingan.
Pertandingan Pemuda UMNO ini saya lakukan dengan penuh istiqamah bahawa saya perlu 'menyelamatkan' agama, bangsa dan negara. Bukan kerana pilihan saya adalah Mukhriz atau saya sedia menerima Khir Toyo.
Dan bukan kerana saya menolak Khairy hanya kerana namanya Khairy, dan apa ciri-ciri peribadinya.
Terus terang, saya berjuang kerana bangsa dan negara perlu diselamatkan dari Khairy. Saya anggapnya sebagai security threat kepada negara ini dan saya lihatnya sebagai seorang yang akan memelencungkan asas perjuangan UMNO untuk memartabatkan bangsa dan tanah air Melayu.
Khairy telah dipantau dan dikaji buah fikirannya, riwayat singkat hidupnya dan pelbagai aspek dirinya, baik yang tersurat jelas dan tersirat tersembunyi. Banyak sebab musabab saya telah terangkan dan banyak lagi tersembunyi yang hanya menjadi pengukuh istiqamah peribadi.
Namun demikian, pemenang telah ditentukan perwakilan. Pasti saya kecewa sedikit kerana harapan saya tidak tercapai. Perwakilan tidak melihat apa yang saya lihat. Namun hakikatnya, pendirian saya masih belum berubah dan bukan saya yang perlu perbetulkan jika ianya salah, kerana ia terpulang kepada Khairy.
Mungkin boleh tidak tercapai harapan boleh disalahkan atas sebab macam-macam. Kenapa Dr Khir Toyo dan Mukhriz perlu sama-sama bertanding memecahkan undi sesama sendiri? Kenapa kekurangan jentera tidak diperbaiki walaupun sudah diketahui? Boleh diutarakan masaalah infrastruktur Putera UMNO yang dibina sebagai feeder kepada pemerkasaan politik Khairy dalam perwakilan tahun ini? Bagaimana dengan permainan G2 yang menjadikan keputusan itu berlainan sekali dari aturan jumlah terbanyak pencalunan Mukhriz dan Dr Khir?
Seribu macam persoalan yang boleh ditimbulkan untuk memahami kelemahan diri. Namun ianya semua adat pertandingan yang perlu diterima hakikatnya.
Walau bagaimana pun, soalan yang saya tidak dapat terjawab adalah melihat orang-orang tua - pakcik makcik - menitis airmata melihat memenangan Khairy di closed circuit TV di Tingkat 4 PWTC. Ini adalah akarumbi yang dapat merasai sebarang kesilapan yang dilakukan di atas dan mereka hayati implikasi kemenangan Khairy.
Saya sendiri dihujani dengan pelbagai SMS. Satu SMS itu berbunyi "tahniah kepada Najib kerana berjaya mendapat Khairy sebagai Ketua Pemuda." Dato Najib telah memberikan klu untuk pemimpin Berani Berubah tetapi yang diperolehi Setiakwan.
Yang pertama saya terima adalah "Takziah utk umno keseluruhannya." Satu lagi pula berbunyi "Tahniah kepada perwakilan2 pemuda yg mengundi khairy kerana berjaya mengkhianati perjuangan umno yg diwarisi selian lama." Ada SMS berbunyi "berkuburlah umno."
Persepsi paling susah untuk Khairy perbetulkan sekarang adalah sebagaimana satu SMS yang berbunyi "Tahniah perasuah dinobat ketua pemuda."
Tanpa segan silu, persepsi yang paling susah buat khairy adalah dikalangan pemuda sendiri yang tanpa segan silu menyorakkan "KJ! ... Rasuah! ..." terang-terang hingga dilaporkan oleh media perdana.
Khairy boleh nafi dan dapatkan seorang penulis prolific untuk cuba memesungkan kenyataan tetapi ianya tidak dapat memadamkan pengetahuan akarumbi yang sendiri melihat. Di dunia media alternatif, perkara sebegini tidak akan dapat ditutup.
Ditambah lagi, seorang komentar Khairy mengaku secara terbuka melakukan amalan ini dengan alasan menuduh orang lain buat. Orang lain tidak didapati bersalah oleh Jawatankausa Disiplin dan tidak ada laporan tetapi Khairy didapati salah.
Ini cabaran besar buat Khairy.
Cabaran pertama yang perlu ditempuh Khairy adalah tiga pilihanraya kecil yang akan berlaku penamaan calun pada 29hb. sehari selepas berakhir PAU. Adakah Khairy akan dapat merapatkan barisan, peroleh sokongan dan masih bergantung kepada lingkungan Setiakawan saja untuk menghadapai pilihanraya penting ini?
Disinilah cabaran kepimpinan Khairy.
Adakah Khairy boleh merapatkan jurang untuk "bersamanya" dengan hanya "arahan"? Dalam beberapa minit dia memenangi jawatan itu, dia tidak langsung memberi perakuan kepada pesaingnya tetapi telah memberi "arahan" membantu Hishamuddin. Sekejap benar dia sudah lupa cara Melayu yang anggap ini satu perbuatan angkuh dan kurang adab dan sopan caranya.
Selama mana Khairy akan membuat alasan semua ini hanya persepsi dan bukan realiti.
Sebagaimana alasan persepsi dia main duit kerana ianya sudah menjadi realiti dia didapati bersalah.
Persepsi Khairy mendapat perlindungan Presiden parti untuk tidak dihukum pun susah untuk dibuang. Rasmi orang salah adalah dihukum dan bukan terlepas. Begitu juga dengan Zaki Zahid yang pernah dilepaskan dengan amaran kerana politik wang yang kini telah dipilih dalam Exco Pemuda.
Injab hati saya merasakan selepas peristiwa terperanjat ini, akan ada lagi surprises. Seorang rakan yang mempunyai jaringan maklumat luas berkata, jangan hairan Razali memangku jawatan Ketua Pemuda.
Saya pun tidak hairan jika sayap Pemuda ditutup kerana elders dalam UMNO sudah membuat kesimpulan perwakilan tidak berupaya untuk rasional dalam menterjemahkan hasrat akarumbi untuk mentransformasikan parti. Seorang Tan Sri berkata Pemuda UMNO sudah rosak beyond repair.
Tidak terlambat untuk saya ucapkan tahniah buat Khairy. Cabaran yang anda perlu hadapai sangat besar dan ianya masih bermula dengan diri anda.
Nampak gaya, kekangan besar untuk Najib adalah dikalangan penjawat-penjawat parti itu sendiri.
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2009/03/penyokong-khairy-mengaku-rasuah-maka.html





(1).png)

No comments
Post a Comment