Rafidah kesal pemimpin pembangkang diperalat hina institusi raja

KOTA BHARU 8 Mac — Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan sikap segelintir pemimpin pembangkang yang sanggup diperalat oleh kaum lain mencabar kewibawaan raja-raja Melayu demi kepentingan politik mereka.

Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana orang Melayu hendaklah berpegang kepada prinsip dan hak ketuanan Melayu yang menjunjung sistem Raja Berperlembagaan.

“Tetapi mengapa sesetengah pihak dan pemimpin Melayu berbuat demikian dengan mencabar institusi raja untuk kepentingan politik?” katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dan ramah mesra calon-calon yang bertanding pada pemilihan Umno hujung bulan ini dengan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Kelantan di sini hari ini.

Rafidah berkata demikian ketika mengulas usaha parti pembangkang menggugat hak institusi raja berperlembagaan di negara ini ekoran perkembangan politik di Perak selepas kerajaan pakatan pembangkang kecundang di negeri itu.

Pada Jumaat lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya orang Melayu bersatu dan menyifatkan orang Melayu yang mempertikaikan kaum sendiri dan raja sebagai biadap.

“Pembangkang sudah tidak hormat dan sama-sama terbabit dalam melakukan penderhakaan kepada raja,” kata Rafidah.

Beliau berkata pemimpin pembangkang sepatutnya memberi contoh terbaik kepada anak-anak muda masa kini kerana generasi sekarang akan memimpin negara masa depan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tidak wajar isu imuniti raja dibincangkan secara terbuka kerana ia tidak akan membawa sebarang penyelesaian.

Perkara itu perlu dibincangkan di tempat yang sepatutnya atau dibincangkan oleh pihak yang dapat menangani isu itu, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bakti Siswa Perdana Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 2009 dan Buku Modul Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi di sini hari ini.

— BERNAMA

tudung tak pakai nenek...tuhan murka tau...murka tuhan lebih dari murka sultan!

No comments

Powered by Blogger.