Raja-Raja Melayu Berhak Untuk Bubar DUN Atau Tidak

SINTOK, 12 Mac (Bernama) -- Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua negeri-negeri tidak terikat dengan nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri, dan mereka berhak serta berkuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tidak.

Menurut pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari terdapat banyak peruntukan dalam undang-undang bahawa Raja-Raja Melayu boleh membuat keputusan mengikut budi bicara baginda.

"Dalam soal krisis politik Perak, Sultan Azlan Shah tidak bersalah kerana tidak mengikut nasihat Menteri Besar pada masa itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang memohon supaya DUN Perak dibubarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum 'Raja Berperlembagaan: Isu Politik Semasa' anjuran Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini Khamis.



Dua lagi anggota panel ialah Profesor Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Prof Dr Ahmad Atory Hussain dan pensyarah kanan bidang undang-undang UUM, Dr Rusniah Ahmad.

Prof Dr Abdul Aziz juga menjelaskan bahawa Perlembagaan Negara tidak menyatakan secara jelas bahawa Sultan atau Raja mesti akur pada nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri dalam soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata Raja-Raja Melayu masih lagi mempunyai imuniti kerana mahkamah khas sahaja yang layak membicarakan kes mereka dan itu pun penubuhannya perlu mendapat kelulusan Peguam Negara.

"Institusi Raja-Raja menjadi pengimbang kestabilan negara atau insurans...", katanya.

Prof Dr Atory pula berkata institusi Raja-raja Melayu menjadi lambang pelindung dan penyatuan rakyat tanpa mengira kaum sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dan ia masih relevan sehingga ke zaman ini.

Beliau berkata Raja-Raja Melayu telah tidak menggunakan kuasa mereka secara sewenang-wenang untuk membubarkan DUN kerana menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.