Terima Keputusan Lembaga Disiplin Dengan Tenang - Muhyiddin

Oleh Muin Abdul Majid

DUBAI, 17 Mac (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota parti harus menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Beliau juga berharap para penyokong berkenaan tidak merasa kecewa dan mengambil tindakan yang boleh membawa kesan negatif kepada situasi politik dalam Umno atau negara.

"Saya bersimpati dengan apa yang dihadapi sahabat saya Datuk (Seri Mohd) Ali Rustam dan yang lain. Sebagaimana yang diketahui, soal disiplin terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin Umno.

"Tentulah mereka sudah membuat penyiasatan terhadap aduan-aduan yang sebelum ini dikatakan tidak diberikan perhatian," kata Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang berada di Dubai untuk perasmian Malaysia Services Exhibition 2009 di sini.

Lembaga itu mendapati Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka, melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, sebagaimana diumumkan hari ini oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Muhyiddin yang juga calon Timbalan Presiden berkata sekiranya keputusan telah dibuat, maka ia harus dihormati kerana sudah tentu ada asas yang digunakan untuk memutuskan bentuk tindakan yang sesuai untuk diambil.

"Apa yang saya harap ialah sahabat dan penyokong bertenang dalam menghadapi keadaan sebegini. Ini sesuatu yang memang kita tidak duga.

"Tetapi sebagai anggota parti yang bertanggungjawab, kita harus fikir soal kepentingan parti dan mengelak daripada perkara yang boleh membawa kesan negatif kepada senario politik dalam negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata proses pemilihan parti akan berlangsung seperti biasa dan terserah kepada perwakilan untuk membuat pertimbangan berhubung siapa pemimpin yang hendak mereka pilih.

"Sepatutnya mereka mengambil kira soal masa depan negara dan Umno, dan berbuat sesuatu yang difikir boleh memberikan manfaat atau kebaikan dalam soal kepimpinan parti dan kerajaan," kata beliau.

Lembaga Disiplin turut mendapati Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Bagaimanapun, seorang lagi calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo didapati tidak bersalah.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.