TV3: Pembohongan terkini, fitnah sensasi
oleh Ahmad Tajdid (HARAKAH)
SEMUANYA seperti tidak masuk akal... Bagaimana sebuah stesen penyiaran yang mendakwa sebagai 'market leader' dalam kelompoknya boleh melayan isu picisan tanpa sebarang merit dan kredibiliti.
Itulah TV3... Stesen penyiaran milik tidak langsung Umno yang bertemakan "Berita Terkini, Hiburan Sensasi".
Sudah hampir seminggu stesen penyiar swasta itu memainkan isu 'ucapan derhaka' seorang ahli Exco Kerajaan Negeri kepada Sultan Kedah kononnya. Maklumat berhubung perkara itu diterima oleh Pemuda Umno negeri khususnya Setiausaha pergerakan itu melalui satu surat layang.
Hanya berdasarkan surat layang itu, TV3 becara bersungguh-sungguh menyiarkan protes Pemuda Umno negeri dan memberikan liputan meluas siri-siri protes itu di rancangan Buletin Utama - program berita waktu puncak TV3.
Apa yang melucukan, hingga saat ini Pemuda Umno negeri dan TV3 gagal mendedahkan butiran spesifik tuduhan mereka. Terbukti Pemuda Umno tidak mempunyai apa-apa untuk didedahkan kecuali sehelai surat layang - tanpa nama, tanpa alamat, tanpa kredibiliti dan tanpa akauntabiliti.
Seperti kata Menteri Besar Kedah, sesiapa sahaja boleh menulis surat layang termasuk Pemuda Umno negeri sendiri.
"Mungkin dia jumpa (surat layang itu) di pasar, orang buang dia ambil, dia tu pula tak ada kerja, dia pun cakap pasai nota tu. Jadi macam mana pulak dia pergi ambil benda yang tak ada sebarang kualiti dimasuk dalam berita dan TV3 pun siar sekali. Tak tahu nak bezakah di antara dialog ni; dua orang bercakap, di mana dialog (itu)?
"Ni cakap-cakap seperti ini dia ada 'malafide' (niat jahat), dia berniat buruk untuk memfitnah sebuah kerajaan dan mengheret Tuanku Sultan dalam kes ini. Kita dukacitalah, patutnya bagi profesional sikitlah dalam hal ini. Sebab itu kita minta polis buat siasatan, orang yang buat laporan ini dia dapat dari mana (nota itu)?
"Mungkin dia sendiri yang buat dia kata orang kata (dibuat pihak lain), mungkin. Benda ni tak layanlah, benda ni kerja budak-budak!" tegas Ustaz Azizan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Industri Dan Program Pembangunan Industri Halal Nasional Peringkat Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, 28 Februari lalu.
Sambil menyifatkan Pemuda Umno sebagai 'gembala kerbau' kerana hanya tahu berbuat bising, Ustaz Azizan tidak menolak kemungkinan bahawa isu itu sengaja dibangkitkan sebagai persediaan Umno berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bukit Selambau, 7 April ini.
Sebenarnya ini bukan kali pertama TV3 menyiarkan berita bohong tentang kerajaan negeri Kedah. Tentu kita masih ingat menjelang sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Abdul Halim, TV3 telah menyiarkan berita kononnya Menteri Besar Kedah berbelanja mewah kerana menyewa jet eksekutif dalam urusan rasmi. 'Footage' menunjukkan kelibat Ustaz Azizan memasuki pesawat tersebut disiarkan berulang kali oleh TV3.
Tanpa disedari, Ustaz Azizan sebenarnya hanya mengiringi kerabat Diraja Kedah menyampaikan jemputan kepada Sultan Brunei untuk hadir ke majlis sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Abdul Halim. Maksudnya, program itu adalah urusan rasmi istana Kedah dan Ustaz Azizan cuma melaksanakan 'Urusan Diraja'. Maka jelas fitnah yang dilemparkan TV3 itu telah mencemarkan imej istana Kedah khususnya Sultan Abdul Halim.
Diberitakan 'orang kuat' TV3 terpaksa menghadap Sultan Kedah memohon ampun atas keterlanjuran laporan itu. Bagaimanapun hanya beberapa bulan selepas memohon ampun, TV3 kembali mengamalkan tabiat buruk melaporkan pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan negeri.
Ustaz Azizan menyifatkan isu terbaru yang dimainkan TV3 dan dilakonkan Pemuda Umno negeri itu sebagai tindakan mencari publisiti murahan dan kebudak-budakan serta berniat jahat.
"Kerana kerja tu kerja tak ada asas, kalau ada asas tak apa juga. Ini tak ada tandatangan, yang tak ada tandatangan tu dia pergi cakap. TV3 Kuala Lumpur pun tak layan dah (kerja macam ini), TV3 Kedah saja layan; tak berapa cerdik, buat rugi masa saja," bidas beliau.
Menurut Ustaz Azizan, Tuanku Sultan pun tahu yang buat kerja ni orang bodoh.
"Tuanku tak layanlah, kalau orang cerdik Tuanku layanlah. Orang bodoh nak layan buat apa, kalau kita layan orang bodoh kita pun bodoh macam dia juga.
"Tambah budak-budak (Pemuda Umno), susu mak dok ubuh di mulut lagi tu, baru habis susulah orang kata, baru berhenti menyusu saja. Biarlah... budak-budak.
"Hari tu dia (Pemuda Umno) melompat di Parlimen, kepung Karpal Singh. Tempik macam nak runtuh Parlimen tu, Karpal Singh jentik pun tidak. Patutnya jatuh Karpal Singh tu (dikerjakan mereka). Ini (buat) bising macam gembala kerbau!" sindir beliau disambut gelak ketawa wartawan yang hadir.
Buat masa ini TV3 akan terus memperlihatkan kebodohannya untuk memperbodohkan orang kampung. Isu tanpa kredibiliti akan terus dimainkan asalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat diburuk-burukkan.
Pembohongan akan terus dilaporkan dan fitnah akan terus menerus disensasikan walaupun tanpa sebarang bukti dan fakta. Etika kewartawanan sebenarnya telah lama dilacurkan stesen TV itu.
Elok rasanya TV3 menukar 'tagline'nya kepada "Pembohongan Terkini, Fitnah Sensasi". - tajdid
No comments
Post a Comment