Adakah Najib Layak Jadi Imam Solat Subuh?


Sama ada Najib diberi peluang atau tidak, perlu diberi peluang atau tidak, Najib tetap berpeluang. Kerusi yang didudukinya sekarang memberinya peluang. Sama ada ada peluang itu diberi secara sukarela atau terpaksa, itu juga tidak perlu dibangkitkan. Dia kini sudah pun berpeluang (baca sini).

Seorang pemimpin yang berjiwa besar tidak perlu merayu supaya diberikan peluang. Kecuali kalau pemimpin itu asyik bergantung kepada tuah orang lain.

Najib acap kali mengungkit-ngungkit kehebatan ayahandanya, kemudian merayu pula supaya orang ramai hari ini bersimpati kepadanya seperti orang ramai zaman dulu bersimpati kepada ayahandanya.

Orang Arab bermadah, “Bukan lelaki sebenar seorang yang berkata inilah bapaku, tetapi lelaki sebenar ialah seorang yang berkata, inilah aku”. Sampai hari ini Najib masih masih ber, “inilah bapaku”. Adakah Najib tidak punya kekuatan yang memadai untuk ber, “inilah aku” sekarang?

Orang Umno tidak perlu risau apabila Najib dikritik bahkan dikutuk. Najib tidak perlu disanjung, dipikul, diarak, inilah pemimpin agung, pemimpin terbaik, inilah…inilah…, kerana kalau Najib benar-benar bersih dan berwibawa, dia tetap akan dipandang bersih dan berwibawa. Kecuali kalau orang Umno sendiri pun tidak yakin dengan kebersihan dan kewibawaannya hingga dia perlu dibersihkan dan diwibawakan.

Saya tegaskan, Najib masih kotor. Dia masih berlumuran selut salah laku. Isu Al……. (tak boleh tulis), kapal terbang, helikopter… dan banyak lagi mahu dipadam begitu sahaja?

Tindakannya selepas dinaikkan sebagai PM, bebaskan 13 tahanan ISA, bebaskan dua akhbar alternatif, adalah tindakan ‘basuh tangan’ saja. Adakah bila seseorang itu baru bangun tidur, kemudian dia basuh tangan, kita pun kata, “Bersih dan harumnya dia”? Pada hal dia belum gosok gigi, belum mandi (apatah lagi kalau dia perlu mandi wajib), belum berwuduk. Adakah orang Umno sanggup berimamkan dia dalam solat Subuh dalam keadaan begitu?

Bagaimana Najib ingin membersihkan dirinya? Saya percaya peluang yang dimilikinya sekarang akan digunakan untuk mempamerkan bahawa dia bersih dan berwibawa. Dia akan gunakan akhbar, TV, jalan kaki, naik basikal, masuk kampong keluar kampong…, namun adakah itu semua mampu melayakkan dirinya ‘mengimamkan solat Subuh’?

Satu saja caranya untuk melayakkan Najib mengimamkan solat Subuh ialah penubuhan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat semua ‘selut’ yang berpalit ditubuh Najib. Kalau Najib benar-benar berwibawa, dia tidak perlu takut kepada semua itu. Orang Umno pun nampak selut itu, tetapi mengapa orang Umno ramai-ramai pakat tumpang salutkan cat putih ke badan Najib untuk menutup selut itu?

Kepada orang Umno, saya katakan kepada tuan-tuan, Najib sedang mengimamkan solat Subuh sedangkan dia belum mandi wajib dan tidak berwuduk. Adakah tuan-tuan sanggup menjadi makmumnya. Kalau tidak, cepat-cepat mufaraqah!

Saya? Saya tidak berimamkan dia semenjak awal, jadi saya tak perlu mufaraqah.

No comments

Powered by Blogger.