Bukit Gantang : Siapa Perlu Berubah Rakyat Atau Umno ?

Oleh Abd Rahim Kassim

Dalam PRU ke 12 yang lalu, rakyat telah menolak Barisan Nasional dan memilih Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, PKR dan DAP. Lima buah negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat termasuk Perak dan Kedah. Kawasan Parlimen Bukit Gantang yang berada dalam negeri Perak telah dimenangi oleh calon PAS dan DUN Bukit Selambau yang berada dalam negeri Kedah, dimenangi oleh calon bebas yang kemudiannya menyertai PKR.

UMNO/BN yang kehilangan lima buah negeri itu telah menjadi seperti cacing kepanasan. Berbagai usaha dilakukan untuk membolehkan mereka mendapatkan semula kuasa. Mereka tidak dapat menerima kekalahan yang berlaku.

Perangai buruk dua anggota exco kerajaan Pakatan Rakyat Perak dari PKR telah dihidu oleh UMNO/BN. Kedua-dua exco ini berjaya dipujuk dan kemudian telah "dilembukan" oleh Datuk Seri Najib bagi menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak.


Pakar undang-undang dan tokoh-tokoh politik termasuk dari UMNO seperti Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh telah mengkritik hebat tindakan tidak bertamadun ini, tetapi Datuk Seri Najib tetap meneruskan tindakan jahatnya itu. Pentadbir Kerajaan Negeri dan polis telah digunakan sepenuhnya bagi mempertahankan tindakannya itu.

Tidak cukup dengan tindakan tidak bertamadunnya di Perak, UMNO/BN terus membuat onar di negeri Kedah pula. ADUN Bukit Selambau yang juga Exco kerajaan negeri dari PKR telah diberi tekanan dan ugutan yang akhirnya menyebabkan ADUN itu terpaksa meletakkan jawatan exconya dan mengosongkan kerusi ADUN Bukit Selambau.

Secara kebetulan dalam keadaan Perak dilanda kemelut rampasan kuasa oleh UMNO/BN, berlaku pula kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang yang diwakili oleh PAS. Dengan ini pilihanraya kecil terpaksa diadakan di kedua-dua kawasan ini.

Semasa hari penamaan calon di Bukit Gantang baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO yang baru dinobatkan, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Berita Harian menyatakan, Barisan Nasional akan membuktikan pembaharuan dan perubahan dilaksanakan dalam tempoh singkat jika pengundi di tiga kerusi pilihan raya kecil di Perak, Kedah dan Sarawak memberikan kemenangan kepada BN.

Beliau juga berkata, pilihan raya kecil itu, khususnya di Bukit Gantang pada 7 April ini, sangat bermakna kerana ia berlaku ketika pasukan baru UMNO diambil alih Datuk Najib Razak selaku Presiden selain beliau sendiri sebagai timbalannya.
Dalam erti kata lain kenyataan Tan Sri Muhyiddin itu, sekiranya pengundi-pengundi ketiga-tiga kawasan pilihan raya itu tidak memberikan undi kepada BN, kerajaan UMNO/BN akan kekal seperti dulu dan tidak akan buat perubahan secara cepat.

Siapa peduli kerajaan BN mahu berubah ke atau tidak. Kerajaan BN memang telahpun ditolak oleh rakyat dalam PRU 12 yang lalu. Dengan apa yang dilakukan oleh UMNO/BN terhadap kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dipilih oleh rakyat, apakah Tan Sri Muhyiddin fikir rakyat Bukit Gantang akan memberikan undi kepada BN?

Kalau UMNO/BN tidak bersedia untuk berubah atau membuat perubahan, rakyat tidak rugi apa-apa tetapi UMNO/BN lah yang akan terus ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Untuk membetulkan UMNO/BN bukannya rakyat yang terpaksa berubah dengan memberi undi dan memenangkan BN tetapi UMNO/BN lah yang terpaksa membuat perubahan dahulu, dan kemudian barulah rakyat menilai semula kepada siapa undi yang patut mereka berikan.

Sekiranya UMNO/BN mahu rakyat memberi peluang kepada kepimpinan baru UMNO yang diterajui oleh Datuk Seri Najib, tugas pertama Datuk Seri Najib ialah mengembalikan semula amalan demokrasi di negeri Perak dengan memberi kepercayaan kepada rakyat untuk memilih mana-mana kerajaan yang mereka inginkan.

Dengan ini barulah rakyat boleh menilai apakah mereka perlu memberikan undi kepada BN atau terus menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke 13 nanti. Kehendak rakyat ini akan dimanifestasikan pada 7 April ini di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

No comments

Powered by Blogger.