Deraan terbaik buat penindas kebebasan akhbar

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tentu sekali tidak sukar untuk sesiapa jua meneka punca sebenar Harakah d igantung penerbitan selama tiga bulan, bermula 23 Mac lalu. Tempoh lebih kurang 100 hari itu, selepas Najib Razak menjadi Presiden Umno, seterusnya Perdana Menteri, merupakan saat cukup kritikal untuknya mendapatkan kembali sokongan rakyat yang hilang dan setiap ruang kritikan harus ditutup serapat-rapatnya.

Bibit-bibit keterbukaan yang disingkap Abdullah Ahmad Badawi bakal disempitkan, malah mungkin lebih teruk berbanding zaman Dr Mahathir Mohamad dahulu. Paling penting, Najib mahu pastikan pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai sebagai pembuka jalan buat BN memintas potensi Pakatan Rakyat.


Jari dituding ke arah Najib. Lima perdana menteri sebelum ini, termasuk ayahandanya, Tun Abdul Razak, di hari-hari awal menaiki takhta, membawa harapan besar rakyat. Namun Najib kini meng heret bagasi sejarah hidupnya yang cukup memeritkan.

Belum pun mengangkat sumpah, Najib terus diburu pelbagai dakwaan yang tidak berkesudahan. Tindakan menggantung penerbitan Harakah yang kini genap berusia 22 tahun menambah-burukkan lagi persepsi umum terhadap kualiti kepimpinan Najib.

Ciri-ciri pemimpin ulung zaman moden ini sukar dicari pada batang tubuhnya. Ternyata Najib tidak berani berdepan pandangan kedua yang menegurnya. Justeru, anak-anak muda yang makin resah-gelisah dengan situasi ekonomi-politik Malaysia tentunya akan terus menyimpan amarah, yang bakal diluahkan dalam peti undi nanti.

Secara zahirnya, penentangan massa terhadap tindakan karut KDN itu mungkin belum nampak ketara. Penyokong, aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat pula lebih menumpukan usaha untuk memenangkan calon dalam tiga pilih raya kecil, 7 April nanti.

Malah, kami di Harakah sendiri terpaksa membataskan dahulu kempen protes terhadap sikap primitif KDN itu disebabkan tumpuan awam lebih difokuskan kepada gerak kerja pilihan raya. Bagaimanapun, ramai pembaca sudah tidak sabar-sabar lagi menunggu arahan agar tindakan "pelik-aneh" KDN itu disanggah secara jelas dan tegas.

Hari ini Harakah digantung tiga bulan, tetapi harus diingat, selepas ini jika kita berdiam diri, tidak mustahil permit berkenaan akan ditarik balik sepenuhnya jika Najib merasakan perlu berbuat demikian demi survival kuasa BN.

Sungguh teruja berada di tengah-tengah lautan manusia, di Taiping, pada hari penamaan calon 29 Mac lalu. Lebih 50,000 penyokong Pakatan Rakyat, daripada pelbagai kaum dan lapisan umur, cukup bersemangat sekali, dengan wajah berseri-seri mempamerkan sokongan tidak berbelah-bahagi, berganding bahu mencari rentak mula untuk memastikan calon PAS, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dapat "mengajar kesombongan Najib-BN" yang bertindak rakus merampas kuasa daripada sebuah kerajaan negeri yang dipilih rakyat.

Kesepaduan antara PAS, DAP dan KeADILan begitu menyerlah. Semasa rombongan DAP tiba di lokasi penamaan calon, penyokong PAS dengan bendera bulan purnama turut berada bersama-sama dalam kelompok berkenaan. Di kala parti-parti komponen BN cuba menunjuk jaguh masing-masing, dan bermain dengan sentimen perkauman, kesepakatan dalam Pakatan Rakyat dipupuk sebaiknya.

Pemilihan Nizar sebagai calon merupakan pemangkin bagi meledakkan kembali kekuatan rakyat yang cuba ditimbus Najib. Pilihan raya kecil Bukit Gantang bukan sekadar untuk menemukan pengganti kepada Almarhum Roslan Shaharum, namun ia juga medan terbaik mengungkapkan isu-isu penting-kritikal dalam pergolakan politik mutakhir.

Ia boleh dijadikan kayu ukur penerimaan rakyat Perak terhadap peralihan kuasa dalam Umno, juga menilai kematangan pengundi, khususnya orang Melayu yang merupakan kelompok majoriti di Bukit Gantang.

Justeru, kita mengharapkan proses demokrasi yang telus dan adil tidak diganggu-gugat sepanjang tempoh kempen. Tidak dipastikan apakah larangan pihak polis, ke atas penceramah agar tidak membangkitkan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh institusi raja, berjaya merendahkan kedudukan pilihan raya itu, yang rata-rata beranggapan sebagai satu referendum terhadap pemerintahan Najib.

Tiga pilihan raya kecil ini memberi impak besar kepada rakyat dan negara seluruhnya. Masa depan Malaysia bakal dicorakkan oleh keputusan malam 7 April nanti. Sayang sekali, akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan dinafikan hak untuk turut berperanan dalam situasi segenting ini.

Rakyat disogokkan hanya dengan satu aliran pandangan dan menyekat pengundi daripada mendapat maklumat dan analisis dari pelbagai sumber berita.

Penggantungan ini bukan sahaja satu tindakan zalim tetapi juga menggelikan hati. Selain mengatur protes di seluruh negara, kami juga mahu buktikan Najib tersilap besar memperbodohkan rakyat.

Kerajaan yang tidak bersedia menghormati hak rakyatnya untuk mendapat sumber maklumat sahih perlu dihukum. Dan tiada deraan terbaik untuk penguasa seumpama itu selain menarik mereka turun daripada teraju kuasa. _

No comments

Powered by Blogger.