Jamil Perlu Kaji Semula Program Bersifat Aksesori

Ramai mengenali Jamil Khir melalui kaca TV sama seperti Mashitah. Mereka berdua digandingkan oleh Najib untuk jaga hal ehwal Islam. Sebelum ini, potfolio itu pernah dipegang oleh Yusof Nor, Hamid Othman, Hamid Zainal Abidin, Abdullah Mat Zain, mereka orang agama. Terakhir, diserahkan kepada Zahid Hamidi. Maknanya, potfolio itu dikembalikan oleh Najib kepada orang agama selepas Zahid.

Dari segi keupayaan ilmu, Mashitah mendahului Jamil. Mashitah lepasan al-Azhar dan ada PhD. Cuma pengalaman pentadbiran di peringkat tinggi menjadi kelebihan untuk Jamil.

Jamil perlu membuat sesuatu yang baru. Dia perlu melepaskan diri daripada terikat dengan warisan terdahulu. Jamil perlu menterjemahkan Islam dalam bentuk praktikal, bukan yang bersifat ‘kosmetik’ atau ‘aksesori’ lagi. Apa contohnya?

Acara tahunan kerajaan yang bersifat keagamaan sekarang antaranya ialah Majlis Tilawah al-Quran, perarakan Maulidur Rasul dan Sambutan Ma’al Hijrah. Umumnya program ini baik dari segi kegahannya, namun semua itu perlu dinilai semula dari segi keberkesanannya, keberkesanan kos.

Saya pernah terlibat dengan semua acara itu suatu masa dulu dari peringkat negeri sehingga kebangsaan. Belanjanya besar namun kesannya sangat minimum. Majlis Tilawah al-Quran misalnya, dari peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, hanya untuk mencari seorang pembaca al-Quran yang terbaik di kalangan yang menyertainya pada pandangan hakim, itu semua menelan jutaan ringgit.

Namun, keberkesanannya dari segi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghayati al-Quran, keupayaannya membasmi buta al-Quran, keupayaannya meningkatkan martabat umat dengan pegangan kukuh kepada al-Quran, setelah lima puluh tahun diadakan, masih boleh dipersoalkan. Betulkah itu berkesan?

Apa kata kalau wang sebanyak itu juga digunakan untuk menyediakan sebanyak mungkin tenaga pengajar al-Quran yang terlatih dan ditempatkan dimerata-rata tempat untuk mengajar al-Quran?

Pada masa ini di kampong-kampong, di taman-taman perumahan, di estet-estet, di perkampungan Felda dan Felcra, kekurangan guru al-Quran terlatih sangat ketara. Ibu bapa sanggup membayar berapa sahaja asalkan anak-anak dapat membaca al-Quran. Kesanggupan ibu bapa itu tidak sepatutnya menjadikan kerajaan merasa tidak perlu lagi memberi perhatian kepada perkara itu.

Disamping guru terlatih, wujudkan juga pusat-pusat didikan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi memahaminya dengan betul, kepada kanak-kanak dan orang-orang dewasa, dengan kemudahan terkini di segenap tempat, rasanya lebih berkesan daripada sekadar bermusabaqah setahun sekali.

Demikian juga dengan Maulisur Rasul dan Ma’al Hijrah. Hanya gah yang lebih tetapi kecintaan kepada rasul, kesedaran mempertahankan rasul, tidak kemana juga.

Program seperti itu mungkin boleh diserahkankepada NGO saja untuk menganjurkannya secara yang bersesuaian di peringkat akar-umbi daripada melibatkan begitu besar jentera kerajaan hanya sekadar untuk berhimpun dan berarak.

Kecuali kalau kerajaan yang ada berfikir, aksesori lebih penting, kosmetik lebih utama, sila teruskan.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.