tahniah menteri agama yang baru dilantik!

Kedaulatan Islam, perpaduan kaum keutamaan Jamil


NAMA Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom mungkin asing bagi mereka di luar bidang ketenteraan, tetapi beliau antara tokoh amat disegani dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Wartawan Berita Harian, AZMAN MAHMOOD menemubual beliau yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, semalam.

Bagaimana perasaan Datuk apabila diumumkan menganggotai Kabinet baru?

Saya memang berasa ia sesuatu di luar dugaan kerana mulai sekarang diberikan amanah untuk bersama kerajaan. Sudah tentu dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan membawa satu mesej dan juga gerakan baru khususnya dalam konteks kepentingan agama dan perpaduan kaum.

Apa yang penting kita perlu melihat apa yang diperlukan seluruh rakyat Malaysia pada hari ini demi untuk kelangsungan perpaduan dengan memastikan Islam sebagai agama rasmi negara terus dihormati.

Apakah tumpuan pertama akan dilaksanakan sebaik saja dilantik?

Saya fikir kita perlu melihat dalam konteks isu terkini iaitu meningkatkan dan mengukuhkan penyatuan dan perpaduan rakyat yang pelbagai bangsa dan anutan agama.

Saya percaya kesan daripada penyatuan dan perpaduan dalam konteks institusi perhubungan rakyat pelbagai kaum, sudah pasti mampu melonjakkan kepada gerakan program pembangunan rakyat dan negara yang akan dilaksanakan kerajaan.

Apakah kepercayaan ini cabaran berat khususnya bagi memartabatkan Islam?

Saya meletakkan penghormatan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan kepada saya untuk berada bersama dalam Kabinet

Perdana Menteri sudah memberi satu keyakinan kepada saya untuk meneruskan tugasan bagi menjaga hal ehwal Islam sebagai tugas dan tanggungjawab yang diberi kepada saya ketika di Kementerian Pertahanan.

Bila dapat tahu dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Saya dapat tahu pagi tadi (semalam) kira-kira jam 9 pagi. Ketika itu saya berada di pejabat (di Kementerian Pertahanan) tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri meminta saya berada bersama mendokong kerajaan.

Saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan saya tanya balik mengenai keyakinannya terhadap saya untuk melaksanakan tugas diamanahkan.

Jadi, saya terima amanah ini dengan hati terbuka dan saya meletakkan janji dan kesungguhan saya kepada beliau untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin. Beliau juga ucap tahniah dan terima kasih kerana saya menerima pelawaannya menyertai barisan Kabinet.


Apakah barisan Kabinet baru ini mampu membawa Malaysia menuju kejayaan lebih cemerlang?

Saya percaya barisan Kabinet baru hari ini mampu untuk mengoptimumkan peranan dan tugas masing-masing demi untuk kelangsungan negara menuju kejayaan lebih bermakna sejajar dengan suasana dunia semasa.

No comments

Powered by Blogger.