Kadar Kemiskinan: Antara Retorik dan Realiti

Oleh Jayanath Appudurai

Malaysia telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam menangani dan mengurangkan kadar kemiskinan. Sejak tahun kemerdekaan, kadar kemiskinan telah dikurangkan daripada 50 peratus kepada 3.6 peratus pada 2007.

Tambahan pula, pencapaian yang luar biasa ini diiktirafkan oleh pertubuhan antarabangsa. Malaysia adalah sesebuah negara yang telah berjaya mengatasi penandarasan kemiskinan 8.25 peratus yang ditetapkan oleh UNDP di bawah Millennium Development Goals bagi tahun 2015.

Inilah kenyataan yang sering dikeluarkan oleh para pemimpin dan pegawai kerajaan bagi membuktikan kejayaan negara kita dalam membasmi kemiskinan.

Adakah kenyataan ini satu yang tepat dan jitu? Apakah data yang diketengahkan untuk menyokong pendirian ini?

Data rasmi kadar kemiskinan dan isi rumah yang terlibat adalah seperti dalam Jadual 1 berikut:-

Jadual 1: Kadar Kemiskinan dan Bilangan Isi Rumah Miskin

Tahun

Jumlah Isi Rumah

{Juta}

Bil. Isi Rumah Miskin

Kadar Kemiskinan Keseluruhan {%}

Bil.Isirumah Miskin Tegar

Kadar Kemiskinan Tegar

{%}

1999

4.8

409,300

8.5

91.700

1.9

2005

5.4

311,300

5.8

67,300

1.2

2007

5.8

208,800

3.6

40,600

0.7

Memang benar Malaysia telah mencapai kejayaan yang ketara dalam menangani masalah kemiskinan. Tetapi ’kejayaan’ yang dimaksudkan itu adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] atau Poverty Line Income [PLI] yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri.

PGK yang ditetapkan adalah berdasarkan pendapatan sesebuah isirumah yang didefinasikan sebagai satu unit yang mengandungi 4.6 orang. Dalam Kajian Semula Rancangan Malaysia Ke-Sembilan, PGK yang digunakan adalah seperti Jadual 2 berikut:

Jadual 2: Pendapatan Garis Kemiskinan Mengikut Wilayah

Wilayah

Kemiskinan Keseluruhan

{RM sebulan}

Kemiskinan Tegar

{RM sebulan}

Semanunjung

720

430

Sabah

960

540

Sarawak

830

520

Soalnya, adakah PGK yang digunakan selama ini satu yang sewajar dan realistik? Sebagai contoh, sesebuah isi rumah di Semenanjung yang memperolehi pendapatan RM750 sebulan, yang nyata melepasi PGK, dikategorikan sebagai tidak miskin. Mengikut kriteria dan rasional PGK, isi rumah tersebut dapat menampung segala keperluan asas makanan, perumahan, pakaian dan pengangkutan dengan purata RM25 sehari! Adakah ini satu angka yang realistik?

Jawapannya terdapat dalam laporan berita mengenai penderitaan yang dialami oleh dua keluarga berpendapatan RM800 sebulan![1] Masalah yang dihadapi oleh keluarga-keluarga tersebut juga dialami oleh sebahagian besar keluarga lain di negara kita.

Jelas bahawa penggunaan satu PGK yang lebih sesuai dengan realiti kehidupan ekonomi semasa akan memberi gambaran yang berlainan.

Sekiranya PGK RM1,000 digunakan sejumlah 8.6 peratus isi rumah boleh dikategorikan miskin berbeza dengan 3.6 peratus yang dituntut oleh kerajaan.

Sekiranya PGK RM1,500 digunakan angka ini akan melibatkan sejumlah 1.2 juta isi rumah iaitu 21 peratus isi rumah dalam negara.

Sekiranya PGK RM2,000 digunakan angka ini akan melompat kepada sejumlah 2.2 juta isi rumah iaitu 38 peratus isi rumah keseluruhan.

Berdasarkan PGK berlainan, unjuran kadar kemiskinan adalah seperti dalam Jadual 3 berikut[2]:

Jadual 3: Unjuran Isi Rumah Miskin dengan PGK berlainan

PGK

{RM}

Purata Seharian {RM}

Isi Rumah Miskin {Bil.}

Kadar Kemiskinan {%}

1000

33

496,580

8.6

1500

50

1,218,000

21.0

2000

68

1,695,759

37.95

Unjuran dan perkiraan ini adalah lebih tepat dengan jurang ketidaksamaan pendapatan [income inequality] antara kumpulan isi rumah 20 peratus teratas dan 40 peratus terendah. Pihak Kerajaan sendiri telah mengakui perkara ini dalam membentangkan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan, seperti berikut:

Bahagian pendapatan isi rumah 40 peratus terendah berkurangan daripada 14 peratus pada tahun 1999 kepada 13.5 peratus pada 2004 manakala bagi isi rumah 20 peratus teratas, bahagiannya meningkat daripada 50.5 peatus kepada 51.2 peratus. Berikutan ini pekali Gini [Gini Coefficient] merosot daripada 0.452 pada tahun 1999 kepada 0.462 pada tahun 2004.[3]

Mengikut Banci Perbelanjaan Isi Rumah [2004-2005] yang dijalankan oleh Jabatan Statistik, secara purata sesebuah isi rumah di Bandar memerlukan RM2,503 sebulan manakala angka untuk Luar Bandar adalah RM1,209. Anggaran secara kasar menunjukkan bahawa sesebuah isi rumah memerlukan pendapatan di antara RM1,200 dan RM1,500 sebulan bagi menampung keperluan asas.

Secara tidak langsung data tersebut menyokong pendapat para akademik dan pemerhati bahawa PGK yang digunakan oleh kerajaan adalah tidak realistik. Maka penggunaan satu PGK yang mencerminkan realiti kehidupan semasa adalah amat penting sekiranya kerajaan benar-benar komited kepada menangani masalah kemiskinan negara.

Di samping itu, kerajaan dalam penggubalan dasar dan program untuk mengatasi masalah kemiskinan perlu juga mengambil berat faktor-faktor berikut:

  • Fakta demografi bahawa nisbah penduduk bandar dan luar bandar telah jauh berubah sejak tahun 1970-an dan kini dua pertiga penduduk bermastautin di bandar;
  • Terdapat perbezaan ketara antara kos kehidupan di bandar dan luar bandar;
  • Penggunaan PGK yang realistik perlu juga disesuaikan setiap tahun berasaskan Indeks Harga Pengguna [CPI];
  • Peruntukan sumber bagi membasmi kemiskinan yang sekian lama lebih tertumpu kepada warga luar bandar perlu diagihkan semula kepada warga di bandar.

Dalam konteks ini adalah diperhatikan bahawa untuk pertama kali hakikat perubahan ketara dalam demografi telah diakui oleh pemimpin negara. Dalam ucapannya kepada di Perhimpunan Agong UMNO 2009, Dato Seri Najib telah mengingatkan para pewakilan bahawa :

“Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian........Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa.....”

Ini adalah satu nasihat yang bernas yang patut juga diterima oleh pegawai di sektor awam. Dasar dan program pembasmian kemiskinan serta pengagihan peruntukan pembangunan perlu dikaji semula supaya realiti warga miskin di bandar dapat ditangani.

Ianya harus dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar kumpulan sasaran, sejajar dengan falsafah Dasar Ekonomi Baru, iaitu untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum!

---
http://bm.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=29:kadar-kemiskinan-antara-retorik-dan-realiti&catid=3:jayanath-appudurai&Itemid=5

No comments

Powered by Blogger.